Kalimah terakhir sang ibu
Hujan turun renyai-renyai di luar tingkap. Bunyi titisannya seperti nyanyian sayu yang tidak pernah berakhir. Di dalam bilik yang menjadi saksi bisu itu, hanya ada dua suara—nafas yang lemah dan tangisan yang tertahan.
Aisyah terbaring di atas katil putih, tubuhnya kurus dan pucat seperti kain kafan. Doktor sudah pergi. Jururawat juga sudah tiada. Hanya tinggal dia dan bayinya yang digendong oleh suaminya, Farid, di suatu sudut bilik.
"Abang.." bisiknya, suara hampir hilang ditelan angin. "sayang ingin melihatnya.."
Farid mendekat dengan langkah berat, matanya seperti berkaca dan basah. Bayi kecil yang baru lahir beberapa jam lalu itu dibaluti kain lembut yang berwarna kuning, tidur dengan tenang seakan tidak tahu bahawa dunia seolah sedang berduka.
Aisyah menatap wajah bayi itu. Kecil. Mulus. Tidak berdosa.
"Kau dengar, sayang?" suara Aishah gementar. Dia mengangkat tangan yang lemah, jari-jarinya menyentuh pipi bayi itu dengan lembut seperti baldu. "Mak takkan lama lagi. Tapi Mak nak kau tahu... kau mesti teruskan hidup."
Bayi itu menggeliat kecil, bibirnya bergerak seperti sedang mencari sesuatu.
Aisyah tersenyum. Peluh dingin membasahi dahinya, tetapi senyumnya tetap terpancar—senyum yang menyimpan seribu kata yang tidak sempat diucapkan.
2.
"Abang tahu tak..," katanya perlahan, matanya tidak lepas dari bayinya. "Semasa sayang mengandungkan dia, sayang selalu bermimpi. Bukan mimpi indah. Tapi mimpi tentang api."
Farid menggigit bibir. "Api?" Farid kehairanan dalam duka.
"Sayang lihat kami berdua... sayang dan anak kita, menari di tengah api. Tapi kami tidak terbakar. Aneh, kan?" Aisyah menghela nafas panjang—nafas yang terasa semakin ringan setiap kali. "Sekarang sayang dah faham...yang itu bukan api..tapi hidup. Dan dia... dia akan melalui semua itu tanpa sayang di sisi.."
Bibir Farid bergetar. "Jangan cakap macam tu, sayang. Kau akan sembuh. Doktor kata—"
"Abang..." Aisyah memandang suaminya dengan mata yang tenang, terlalu tenang. "Kita berdua tahu. Inilah saatnya.."
Farid menunduk, air matanya tidak dapat ditahan lagi. Jatuh setitis demi setitis ke pipi bayinya yang sedang tidur.
Aisyah meraih tangan Farid dan meletakkannya di atas bayi itu. Tiga tangan..dua tangan dewasa yang penuh duka, dan satu yang masih kecil dan penuh dengan pengharapan, bersentuhan dalam keheningan.
"Dengar pesan Mak, anakku," bisik Aisyah kepada bayinya, walaupun dia tahu bayi itu belum boleh memahami. Tapi dia tetap berkata, kerana kata-kata itu bukan untuk didengar oleh telinga. Kata-kata itu untuk diingat di jiwa.
"Jangan takut. Jangan berhenti. Hidup ini akan berat buatmu, tapi kau kuat. Kau lebih kuat daripada Mak. Mak tahu.."
Bayinya membuka mata seketika—mata kecil yang belum tahu warna dunia—lalu menutupnya semula.
Aisyah tersenyum lagi. Kali ini air matanya mengalir.
3.
Jam di dinding berdetak perlahan. Detik-detik terakhirnya semakin hampir.
"Abang," katanya, suara kini seperti bisikan dari jauh. "Nanti kalau dia besar... abang ceritakan pasal sayang. Tapi jangan cerita yang sedih-sedih. Cerita yang gembira. Cerita pasal masa sayang pertama kali merasainya menendang di dalam perut. Cerita pasal sayang mengantuk sebab berjaga malam tapi tetap tersenyum bahagia.."
Farid mengangguk, tidak mampu berkata apa-apa.
Aisyah menatap bayinya sekali lagi—untuk kali terakhir.
"Kita akan bertemu lagi, anakku," bisiknya. "Di suatu tempat. Di sana nanti, Mak akan peluk kau lama-lama. Tapi sekarang, kau harus melangkah dahulu. Berjalan untuk Mak."
Dia menarik nafas panjang—nafas yang terakhir.
"Jangan menangis, sayang," katanya, walaupun air matanya sendiri tidak berhenti. "Semua akan baik-baik saja."
4.
Aisyah menutup matanya.
Bayi itu mula menangis—tangisan nyaring yang memecah sunyi bilik, seolah-olah rohnya tahu bahawa sesuatu yang besar telah hilang dari dunia ini.
Farid memeluk bayi tersebut dengan erat, tubuhnya gementar. Di luar tingkap, hujan masih turun. Tetapi di celah-celah awan, seberkas sinar matahari mula menembusi langit, jatuh tepat ke wajah bayi yang sedang menangis itu.
Seperti yang dijanji. Seperti sebuah isyarat. Seperti kata-kata terakhir seorang ibu yang tetap percaya bahawa anaknya akan menemui sinar suatu hari nanti—
Walaupun dia sendiri tidak lagi berada di sana untuk melihatnya.

Post a Comment