Escape Plan 2: Hades – Bukti Lanjutan Kemerosotan Nasib Bintang-Bintang Veteran Hollywood
Akhir-akhir ini kami telah menyemak beberapa filem lakonan pelakon veteran Hollywood yang didapati kurang memberangsangkan, seolah-olah hanya dibuat untuk melepaskan batok di tangga. Kini, seorang lagi veteran Hollywood, Sylvester Stallone membintangi filem sequel kepada Escape Plan yang mula ditayangkan pada tahun 2013 dahulu. Berikut merupakan pendapat kami mengenai filem ini.
Escape Plan 2: Hades menyambung kisah Ray Breslin yang melarikan diri dari penjara misteri dalam filem pertama. Kini beliau memiliki syarikat keselamatan yang mempunyai kepakaran dalam menyelamatkan pelanggannya dari penjara atau situasi penculikan yang paling ketat dan sukar. Dalam satu operasi menyelamat, salah seorang agennya telah melakukan kesalahan sehingga menyebabkan seorang pelanggannya mati. Beliau kemudian dibuang dari pasukan tersebut.
Tidak lama kemudian, seorang lagi agennya hilang tanpa kesan. Tetapi kali ini Breslin sendiri terpaksa melibatkan diri dalam menyelamatkan agen-agennya. Apakah beliau akan berjaya? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.
Ulasan
Jika dalam filem pertama Escape Plan, Sylvester Stallone bergandingan dengan Arnold Schwarzenegger, dalam filem sequel ini beliau bergandingan pula dengan Dave Bautista, walaupun watak Bautista sebagai Derosa boleh dianggap kecil sahaja. Jika dalam filem pertama kami memberikan ulasan yang agak seimbang mengenai filem tersebut, perkara yang sama tidak dapat dikatakan mengenai filem sequel ini. Dari babak pertama lagi kita boleh merasakan bahawa filem ini berada di tahap yang sama seperti filem Black Water tempoh hari yang kami labelkan sebagai filem bajet. Mungkin filem-filem sebegini hanya wujud untuk membolehkan pelakon veteran dan pelakon baharu memperoleh wang saku sementara menunggu tawaran lakonan yang lebih lumayan.
Pertama sekali, plotnya agak simplistik, walaupun pengarah cuba mengolah jalan ceritanya menjadi lebih dramatik dan kompleks. Props dan lokasi yang digunakannya juga kelihatan jauh lebih jimat bajet berbanding filem pertama. Manakala kesudahannya juga kurang memberangsangkan dan boleh dijangka.
Masalahnya dengan filem genre "melarikan diri dari penjara" ialah perhatian teliti perlu diberikan kepada langkah-langkah dan pelan yang digunakan protagonis untuk melarikan diri. Jika ia terlalu simplistik dan boleh dijangka, maka penonton akan bosan dan seluruh filem akan gagal di box office. Dari segi ini, jalan cerita seharusnya jauh melebihi jangkaan penonton—barulah penonton akan kekal berminat menonton filem ini sehingga ke penghujung.
Kami rasakan filem ini lebih sesuai ditayangkan di rangkaian televisyen berbayar seperti Netflix atau HBO berbanding di pawagam; namun, kami kurang yakin rangkaian tersebut akan membeli filem seperti ini.
Positif vs Negatif
Positif:
Menghiburkan, jika anda tidak mempunyai sebarang filem lain untuk ditonton
Negatif:
Jalan cerita yang boleh dijangka
Bajet filem yang jelas sekali rendah
Kesimpulan
Sebenarnya filem Escape Plan asal tidak perlu kepada sebarang sequel, namun premis Escape Plan 2: Hades jika dinilai sekali pandang, agak menarik. Namun penulisnya telah gagal menggunakan kreativitinya untuk membina plot yang menarik yang boleh dibanggakan. Tontonlah filem ini hanya jika anda tidak mempunyai filem lain untuk ditonton.
Penilaian – 3/10


Post a Comment