Search This Blog

Kung-Fu Yoga [Review]

Salamat Tahun Baru Cina bagi pembaca yang menyambutnya dan sedang kita menghampiri Tahun Baru Cina, terdapat beberapa filem berbahasa cina yang ditayangkan di panggung wayang. Antara yang sempat kami tonton ialah filem Jackie Chan, Kung-Fu Yoga.

Kung-Fu Yoga [Review]

Filem Kung-Fu Yoga sebenarnya berkaitan langsung dengan filem The Myth, yang diterbitkan pada tahun 2005. Dalam filem terbaharu ini, watak Jackie Chan adalah sama, iaitu beliau memainkan watak Jack, seorang profesor arkeologi di China.

Kali ini beliau, pembantu-pembantunya dan profesor Ashmita dari Universiti di India untuk mencari harta karun Magadha, sebuah kerajaan India purba yang berkuasa di India suatu ketika dahulu yang menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan dinasti Tang di China.

Namun di awal pencarian, mereka telah diperangkap oleh Randall, iaitu keturunan tentera pemberontak yang menentang tentera Magadha. Sejak itu bermulalah persaingan untuk merebut petunjuk bagi mencari harta karun Magadha itu.

Mampukah mereka mencari harta karun tersebut? apakah harta karun itu? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita dan Lakonan

Pertama sekali, sebelum anda menonton filem ini kami nasihatkan anda supaya menetapkan jangkaan anda untuk filem ini. Filem The Myth sebelum ini adalah sebuah filem menarik dengan jalan cerita yang agak sofistiketed. Namun untuk filem Kung-Fu Yoga, sebaliknya pula berlaku.

Kami mengharapkan standard yang sama dengan The Myth, namun jangkaan kami meleset. Pada permulaannya, filem ini mempunyai asas jalan cerita yang menarik, berkisarkan mitos zaman purba yang melibatkan hubungan kerajaan China dan India. Walaupun 20 minit pertama dipenuhi dengan babak-babak yang agak membazir, kami masih mengharapkan yang terbaik dari filem ini. Namun, semakin lama kami menonton filem ini, semakin jalan ceritanya kelihatan tidak serious. Seolah-olah filem ini dibikin sebagai projek suka-suka sahaja.

Oleh itu di pertengahan tontonan filem ini, kami mengambil keputusan mengubah mindset dan tidak menghakimi filem ini dengan terlalu serious dan kami hanya layan filem ini sebagai peminat filem Jackie Chan, menjadikan pengalaman menonton menjadi lebih menyeronokkan.

Sejujurnya, jika dinilai secara objektif, filem ini merupakan filem paling teruk lakonan Jackie Chan, walaupun pengarahnya sama dengan pengarah filem The Myth. Tetapi, memandangkan ia lakonan Jackie Chan dan ia masih mempunyai banyak babak-babak yang menghiburkan dan lucu, kami tonton juga sehingga ke penghujung.

Bercakap mengenai penghujungnya, pengakhiran filem ini merupakan bukti muktamad bahawa filem ini hanya sebuah filem santai dan bersuka-suka sahaja. Anda akan faham jika menontonnya.

Dari segi lakonan pula, jika anda biasa menonton filem Jackie Chan anda tentu tahu selain pelakon utama, pelakon tambahan biasanya mempunyai mutu lakonan yang agak “ceria”.

Kung-Fu Yoga

Kesan Khas

Filem ini memang banyak menggunakan kesan khas. Babak pertama yang menceritakan sejarah kerajaan India dan China yang menjadi subjek kajian Jack dibikin sepenuhnya dengan CGI. Mutu CGInya tidaklah sebaik filem Final Fantasy, namun cukup baik untuk membolehkan watak CGI Jackie Chan kelihatan realistik.

CGI juga banyak digunakan dalam adegan kejar-mengejar menggunakan kereta sport mewah. Memandangkan bajet yang tidak besar, CGI berjaya digunakan untuk menjana kereta seperti Bugatti Veron, Lamborghini dan pelbagai lagi kereta sport mewah yang pasti berkos tinggi jika dibuat menggunakan kereta sebenar. Namun, masalahnya CGInya sangat ketara disebabkan pergerakan kereta yang tidak mengikut hukum fizik.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jika anda tidak menilai dengan serious, anda pasti akan terhibur.
  • Lawak jenaka yang mencuit hati dan aksi berlawan yang mendebarkan.

Negatif

  • Jalan cerita seolah-olah tangkap muat sahaja.
  • Lawak jenaka yang kadang-kala slapstick
  • Kesudahan yang agak WTFish.

Kesimpulan

Kesimpulannya, mood dan jangkaan untuk filem ini sangat berbeza dengan filem The Myth. Jika dalam filem the Myth, jalan ceritanya agak munasabah, terutamanya mengenai percintaan jeneral dengan puteri Korea dan pemburuan rahsia hidup abadi. Namun, dalam Kung-Fu Yoga, permulaannya nampak agak menarik, namun terlalu banyak “plot hole” sehingga filem ini tidak boleh diambil serious.

Jadi, jika anda hanya mahu berhibur, filem ini OK untuk anda. Jika anda mengharapkan jalan cerita yang epik, minta maaf. Perumpamaan yang boleh dibuat ialah The Myth ialah seperti pergi ke audition Mentor di mana anda perlu serious, dan Kung-Fu Yoga pula ialah seperti pergi menyanyi karaoke di mana anda hanya menyanyi untuk berhibur dan tidak serious.

Penilaian: 6/10

IMDB

The post Kung-Fu Yoga [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2kClXYF