Search This Blog

Attraction [Review]

Nampaknya semakin banyak filem-filem Russia disasarkan kepada pasaran antarabangsa diterbitkan baru-baru ini. Mula-mula dengan Guardians dan kini Attraction pula mula ditayangkan di pawagam. Kami sempat menonton filem ini dan berikut merupakan pendapat kami mengenai filem berkenaan.

Attraction

Attraction [Review]

Attraction atau tajuk asalnya Prityazhenie merupakan sebuah filem sci-fi Russia mengisahkan sebuah kapal angkasa makhluk asing yang tersesat ke bumi akibat gangguan meteor. Setibanya di bumi ia telah ditembak jatuh tentera Russia lalu jatuh di kawasan penempatan awam, menyebabkan kematian orang awam.

Pihak tentera Russia mengurung kawasan kapal angkasa itu terhempas dan berunding dengan makhluk asing tersebut dan bersetuju membiarkannya membaiki kapal angkasanya bagi membolehkannya meninggalkan bumi secepat mungkin.

Filem ini memfokuskan kepada reaksi orang awam terhadap kehadiran makhluk asing tersebut terutamanya watak utamanya Yulya Lebedeva serta rakan-rakannya. Setelah kejadian tersebut berlaku, ramai ingin membalas dendam terhadap makhluk asing itu atas kematian orang awam.

Namun, untuk pulang semula ke planetnya, makhluk asing bernama Hijken mesti mencari alat yang tertanggal dari kapal angkasanya. Beberapa perkara berlaku menyebabkan Yulya menyelamatkan Hijken dari mati dibelasah rakan-rakannya. Sejak itulah mereka berdua bekerjasama untuk mencari alat tersebut. Apakah kesudahan kisah mereka? Semua akan diketahui dengan menonton filem ini di pawagam berhampiran anda.

Jalan Cerita dan Lakonan

Berbeza dari filem Guardians di mana jalan cerita dan lakonannya seperti filem komik, Attraction merupakan filem yang lebih serious. Ia umpama gabungan antara filem Independence Day dan District 9. Pada masa yang sama ia juga merupakan filem percintaan remaja yang jalan ceritanya tidak asing bagi mereka yang gemar menonton filem sci-fi. Dari segi itu, ia juga mirip filem PK lakonan Aamir Khan yang memaparkan percintaan antara makhluk asing dan heroinnya.

Tetapi pengolahan jalan ceritanya agak kurang memberangsangkan. Babak-babaknya meleret dan terdapat banyak babak membazir demi untuk mengisi ruang kosong filem berdurasi 2 jam itu.

Secara keseluruhannya, walaupun jalan ceritanya cuba menyentuh pelbagai aspek kemasyarakatan dalam situasi penemuan makhluk asing, pengolahannya kurang menarik. Mungkin kerana ia dialihbahasa dari bahasa Russia menyebabkan aspek lakonannya kurang memberangsangkan. Tambahan pula, jalan ceritanya boleh dijangka dan bukan suatu yang baharu.

Tetapi apa yang menarik mengenai filem ini ialah ia memaparkan bagaimana pihak tentera Russia bertindakbalas kepada situasi yang tidak diketahui seperti kehadiran makhluk asing, yang sangat berbeza dari sikap ofensif yang biasa dilihat pada pihak tentera US dalam filem-filem Holywood.

Kesan Khas

Kesan khas CGI dalam filem ini harus diberi pujian. Babak pertamanya di mana kapal angkasa terhempas ke bumi sangat epik dan dibikin dengan baiknya. Malangnya, babak-babak yang melibatkan makhluk asing bergerak lincah dalam baju exoskeleton sedikit mengecewakan. Begitu juga babak yang memaparkan bahagian dalam kapal angkasanya yang mempunyai rekabentuk dan kualiti CGI yang agak kurang menarik.

Walaubagaimanapun, secara keseluruhan, kualiti bukanlah perkara yang menjatuhkan filem ini, sebaliknya jalan cerita, skrip dan pengolahan babak-babaknya.

Positif vs Negatif

Positif

  • CGI yang agak baik.
  • Pandangan alternatif (dari segi reaksi tentera) dalam sebuah filem sci-fi makhluk asing.
  • Memaparkan pelbagai aspek kemasyarakatan sebagai reaksi kepada kehadiran makhluk asing ke bumi.

Negatif

  • Jalan cerita yang boleh dijangka dan tiada perkara baharu
  • Pengolahan babak yang kurang menarik dan meleret-leret.

Kesimpulan

Menonton filem-filem sci-fi atau aksi Russia sememangnya satu culture shock mungkin kerana budayanya yang sangat berbeza dari Amerika dan Holywood. Jika di Amerika sistem kapitalis menjadi budayanya, Russia baru sahaja kurang 30 tahun membuang sistem komunis dan menjadi negara kapitalis. Ini tentunya memberi perbezaan budaya dan para pembikin filem Russia masih mencari formula terbaik bagi memperkenalkan filem-filem sci-fi dalam acuan mereka sendiri. Dari apa yang dilihat, mereka semakin hampir mencapainya. Walaubagaimanapun, kami tidak merekomen anda menonton filem ini melainkan anda mendapat tiket yang lebih murah seperti early bird atau tiket pelajar, walaupun ia lebih baik sedikit berbanding Guardians. Keputusan di tangan anda.

Penilaian: 6/10

IMDB

The post Attraction [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2nhLx66