Search This Blog

Power Rangers 2017 [Review]

Pertama kali siri kanak-kanak Power Rangers ditayangkan di Malaysia, saya baharu memasuki darjah 5 sekolah rendah. Ketika itu terdapat kontroversi perkataan “Morphin’ ” dalam “Mighty Morphin’ Power Rangers”. Perkataan itu kemudiannya disunting dari lagu pembukaan rancangan itu. Orang ramai agak pelik dengan tindakan itu, tetapi tidaklah menjadi viral seperti jika ia berlaku di zaman sekarang. Apa pun, secara keseluruhannya, filem Power Rangers 2017 ini telah dinaiktaraf dari rancangan kanak-kanak kepada rancangan remaja.

Power Rangers 2017 [Review]

Walaupun ramai sudah tahu asal usul Power Rangers daripada rancangan TVnya dahulu, tetapi dalam filem ini penerangan lebih mendalam diberikan mengenai asal usul Power Rangers, Zordon serta latarbelakang konfliknya.

65 juta tahun lalu satu pertempuran epik telah berlaku antara Rita Rupulsa dan Power Rangers lain, diketuai Zordon sebagai Ranger merah. Rita pada asalnya merupakan seorang Power Rangers tetapi kerana tamakkan kuasa, beliau telah menjadi jahat. Pasukan ranger Zordon bagaimanapun telah tewas dan menghantar meteor ke bumi dalam usaha untuk menghapuskan Rita dan pada masa yang sama menghapuskannya sekali. Walaubagiamanapun Rita tidak mati, sebaliknya telah menjadi tidak aktif selama 65 juta tahun.

Alpha (robot Zordon) telah sempat memasukkan “kesedaran” Zordon ke dalam komputer kapal angkasa mereka sebelum beliau mati. Zordon juga telah menanam cakera Power Rangers (berjumlah 5 keping) dengan harapan cakera itu akan menjumpai/dijumpai orang yang layak menjadi Power Rangers. 65 Juta tahun, ia dijumpai oleh 5 remaja bermasalah.

Sementara itu Rita telah dijumpai oleh nelayan diketuai bapa kepada Jason (ranger merah) ini menyebabkan beliau hidup semula dan berusaha untuk memusnahkan bumi. Dapatkah Power Rangers menghalang beliau dan rancangannya? Tontonlah filem ini di pawagam berhampiran anda.

Jalan Cerita dan Lakonan

Secara keseluruhannya, “reboot” filem Power Rangers ini sememangnya dialu-alukan. Ia membawa nafas baharu kepada rancangan kanak-kanak Power Rangers yang kita telah biasa lihat. Kanak-kanak zaman sekarang juga lebih matang daripada zaman dahulu dan mungkin tidak lagi berminat dengan struktur jalan cerita kumpulan adiwira terdahulu.

Bagi kami, jalan ceritanya adalah agak tipikal bagi sesebuah filem adiwira remaja yang memaparkan remaja bermasalah yang diberi harapan semula dengan kuasa serta tanggungjawab adiwira untuk mempertahankan bumi. Mutu lakonan tidaklah begitu hebat, namun cukup baik untuk sebuah filem remaja. Apa yang akan membezakannya dengan filem adiwira lain adalah bagaimana pembikinnya akan membikin filem-filem sekuel selepas ini.

Filem ini hanyalah pengenalan Power Rangers dan ia merupakan satu permulaan yang baik, walaupun agak tipikal. Jadi jika anda seperti saya, seorang peminat veteran siri adiwira ini, anda tidak perlu terlalu mengharapkan satu jalan cerita yang awesome, sebaliknya niat menonton hanyalah untuk mengetahui asal usul Power Rangers mengikut versi baharu ini. Jika anda suka versi ini, anda boleh membuat keputusan untuk menonton filem berikutnya. Begitu juga sebaliknya jika anda tidak suka.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita asal usul yang munasabah dan boleh diterima sebagai asas reboot.
  • rekabentuk kostum dan robot yang menarik
  • Rekaan watak yang baik

Negatif

  • Jalan cerita aga tipikal bagi sebuah filem adiwira remaja

Kesimpulan

Filem Power Rangers 2017 bukanlah sebuah filem yang menampilkan sesuatu yang baharu atau “X-factor”, sebaliknya menjadi asas kepada satu siri Power Rangers baharu. Ia boleh menjadi asas kepada siri TV baharu atau siri filem, bergantung kepada pemilik hakciptanya. Kami rekomen anda menontonnya dengan niat ingin tahu jalan cerita baharunya, bukan mengharapkan sesuatu yang awesome. Filem in hanya mahu membawa francais ini ke satu tahap yang lebih moden.

Oh ya, jangan lupa menonton babak tersembunyi di pertengahan babak kredit. Satu lagi, walaupun terdapat kontroversi seorang watak Power Rangers adalah homoseksual, jangan risau, ia sangat tidak jelas dan tidak akan memberi kesan kepada remaja. Selamat Menonton.

Penilaian: 6/10

IMDB

The post Power Rangers 2017 [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2ndAZ5y