Search This Blog

Game Night – Filem Komedi Misteri Yang Santai

Filem komedi yang baik semakin sukar ditemui kebelakangan ini. Mujurlah 21 Februari lepas Yes 4G telah menaja kami untuk menonton tayangan perdana filem Game Night lakonan Jason Bateman dan Rachel McAdams. Ia merupakan sebuah filem komedi misteri yang menarik dan di sini kami ingin berkongsi pendapat mengenainya.

Terima kasih Yes 4G untuk tiket tayangan perdana

Game Night – Filem Komedi Penyiasatan Yang Santai

Game Night berkisah mengenai sepasang suami isteri, Max dan Annie yang sangat gemar bermain permainan seperti Pacman, Jenga, teka lukisan dan pelbagai lagi permainan rakyat. Mereka sememangnya sejak pertama kali berjumpa merupakan pasangan yang sangat serasi.

Max dan Annie gemar menjempun rakan-rakan mereka seminggu sekali untuk bersama-sama bermain permainan dalam “Game Night” atau “malam permainan“. Tetapi minggu ini terdapat satu keistimewaan kerana abang Max bernama Brooks telah pulang dan mengajak Max, Annie dan rakan-rakannya ke “Game Night” anjurannya. Sebenarnya Max dan Brooks sejak kecil lagi sentiasa berada dalam keadaan persaingan adik beradik yang sengit. Masing-masing mahu menunjukkan siapa yang lebih hebat.

Permainan yang dianjurkan Brooks adalah satu permainan misteri jenayah masa nyata di mana peserta akan dihidangkan dengan satu situasi jenayah yang mereka perlu selesaikan dan siapa yang menyelesaikannya dahulu akan menang. Tanpa dijangka, sesuatu yang tidak dirancang telah berlaku. Apakah perkara itu dan dapatkah Max dan Annie menyelesaikannya? Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Dari awal kami mengetahui bahawa filem ini merupakan filem komedi yang santai, jadi kami mula menontonnya dengan jangkaan yang santai. Sememangnya filem ini tidak mengecewakan. Kami tidaklah mengatakan filem ini terhebat di pawagam, namun ia menghiburkan di tahap lebih dari biasa.

Olehkerana filem ini filem misteri, ia sentiasa membuatkan penonton berfikir apa akan berlaku seterusnya dan olehkerana ia juga sebuah filem komedi, ia tidak henti menghidangkan lawak jenaka yang menggelikan hati. Lawak jenakanya tidaklah sehebat filem seperti “The Hitmans Bodyguard” tetapi cukup kelakar untuk membuatkan satu panggung riuh dengan gelak-tawa penonton.

Jalan ceritanya juga menarik di mana ia menghidangkan putaran plot (plot twist) demi putaran plot yang langsung tidak dijangka penonton. Kami yakin anda tidak akan dapat menjangka bagaimana filem ini berakhir kerana terdapat terlalu banyak putaran plot. Maklumlah ia sebuah filem misteri.

Keserasian di antara kedua pelakon utama juga memain peranan penting dalam keseronokan menonton filem ini. Watak Jason Bateman dan Rachel McAdams memang bersahaja dan lucu serta serasi dalam apa jua situasi dalam filem ini. Pelakon-pelakon pembantu juga memain peranan mereka dengan baik bagi memeriahkan lagi filem ini dengan pelbagai kerenah watak-watak mereka.

Namun, seperti yang dikatakan sebelum ini, filem ini bukanlah yang terbaik antara terbaik. Terdapat beberapa kelemahan dari segi plot dan jalan ceritanya yang tidak cukup padat, namun itu tidak mengganggu keseronokan menonton filem ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • Keserasian pelakon utama dan pelakon pembantu yang baik
  • Lawak jenaka yang menghiburkan
  • Plot twist yang banyak dan tidak dijangka

Negatif

  • Jalan cerita tidak cukup padat
  • Beberapa kelemahan dari segi plot

Kesimpulan

Filem Game Night bukanlah satu filem yang akan dinobatkan dengan sebarang anugerah perfileman. Namun, sebagai sebuah filem hiburan, ia berjaya menjalankan misinya dalam menghiburkan penontonnya. Ia sesuai ditonton bagi melepaskan tekanan bekerja sepanjang minggu bersama rakan atau keluarga.

Penilaian – 7/10

IMDB

The post Game Night – Filem Komedi Misteri Yang Santai appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2CEBZ96