Search This Blog

Retro Movie: A Taxi Driver [Korea Selatan]

Biasanya kami review filem-filem baharu di pawagam, namun kami ingin memperkenalkan segment baharu “Retro Movie” di mana kami review filem-filem yang terdahulu, tetapi mungkin terlepas dari pandangan orang awam kerana tidak dipromosikan dalam media arus perdana di Malaysia. Filem pertama yang ingin kami review adalah filem A Taxi Driver, sebuah filem Korea Selatan yang berasaskan kisah benar tentang kejadian “Gwang-ju Uprising” atau rusuhan Gwang-ju yang berlaku pada tahun 1980 di Gwang-ju, Korea Selatan.

Untuk mengetahui lebih banyak tentang kejadian ini, anda boleh membacanya di Wikipedia ataupun Googlekan sahaja. Secara ringkasnya dalam kejadian tersebut, para pelajar dan rakyat di Gwang-ju memberontak bagi menuntut hak demokrasi, namun telah dicantas oleh pihak tentera yang menembak rakyatnya sendiri. Dikatakan lebih 600 penduduk telah mati di tangan pihak tentera Korea Selatan dan menjadi titik hitam dalam sejarah Korea Selatan. Berikut merupakan laporan berita mengenai kejadian itu dari tahun 1980.

Retro Movie: A Taxi Driver [Korea Selatan]

Filem A Taxi Driver mengisahkan kisah benar mengenai seorang jurnalis German bernama Jürgen Hinzpeter yang ingin membuat liputan mengenai kejadian “Gwang-ju Uprising” di Korea Selatan. Namun pihak kerajaan telah melarang kemasukan sebarang jurnalis barat untuk meliputi kejadian itu. Malah jurnalis tempatan yang membuat liputan juga telah ditahan dan akhbar-akhbar telah disunting supaya sebarang maklumat sebenar mengenai kejadian itu tidak diketahui orang dari luar Gwang-ju.

Kim Man-seob atau Mr. Kim, merupakan seorang pemandu teksi Seoul. Beliau yang kehilangan isteri, hidup bersama anak perempuannya di sebuah apartmen di Seoul. Akibat berhutang sewa apartmen, beliau terdesak dan peluangnya hadir apabila Hinzpeter telah menawarkan syarikat teksi 100,000 won untuk membawanya ke Gwang-ju dan kembali. Demi merebut peluang, Mr. Kim telah hadir awal untuk menjemput Hinzpeter, sebelum pemandu teksi syarikat sempat menjemputnya.

Jadi, tanpa sebarang pengetahuan mengenai apa yang berlaku di Gwang-ju, Mr Kim membawa Hinzpeter ke sana. Walaupun dihalang pihak tentera, akhirnya mereka berjaya menjejakkan kaki ke bandari itu. Apa yang mereka temui amat mengejutkan. Untuk mengetahui selanjutnya mengenai filem ini, tontonlah ia di Astro on Demand dan Astro GO.

Review

Perkara pertama yang anda sedari apabila menonton filem ini adalah kehebatannya membina semula persekitaran Seoul pada zaman 80an. Kami yakin mereka menggunakan CGI, namun banyak juga perkara seperti kereta-kereta yang sememangnya diambil dari zaman 80an.

Filem ini tidak membuang masa untuk memulakan plot utamanya, Hinzpeter ke Korea > berjumpa Mr Kim > terus ke Gwang-ju. Semua babak-babak di bikin dengan jelas dan menerangkan plot cerita dengan jelas, jadi tiada kekeliruan di kalangan penonton. Perkara ini kami rasakan sangat diperlukan dalam filem Malaysia di mana banyak filem Malaysia yang mempunyai babak-babak yang kurang jelas mengenai apa yang hendak ia sampaikan dan akhirnya menyebabkan penonton keliru.

Dengan itu juga kita boleh lihat dengan jelas bagaimana Mr Kim berubah dari seorang yang tidak mengetahui apa-apa mengenai kejadian di Gwang-ju pada awal filem, kepada watak penting dalam perjuangan rakyat bandar tersebut. Setiap babak dalam filem itu memaparkan dengan jelas apa yang berlaku dan apa difikirkannya yang menyebabkan beliau mengambil keputusannya.

A Taxi Driver

Filem ini juga memaparkan peranan penting yang dimainkan para pemandu teksi Gwang-ju dalam perjuangan demokrasi tersebut. Banyak aksi heroik yang dilakukan mereka membuatkan kami terharu terutamanya dalam melawan pihak tentera dan pihak special branch polis. Seperti biasa jika menonton filem Korea, bersedialah dengan kotak tisu kerana banyak bawang akan dipotong dalam filem ini.

Kami ingin sedaya upaya tidak memberikan spoiler, tetapi kami jamin, filem ini berbaloi untuk ditonton. Ia mengajar kita bagaimana rakyat di Korea pada ketika itu sanggup berkorban untuk memperjuangkan demokrasi dan kebebasan sehingga ramai terkorban. Ia juga menunjukkan betapa tinggi penghormatan mereka letakkan pihak jurnalis, terutamanya jurnalis luar, kerana peranan mereka untuk menyebarkan berita sebenar yang berlaku di Gwang-ju kepada dunia.

Positif vs Negatif

Positif

  • Lakonan mantap pelakon utama dan pelakon sokongan
  • Jalan cerita dan pengolahan yang menarik
  • Menginspirasikan
  • Babak pukul memukul oleh pihak polis/tentera memang realistik betul hingga tengok pun rasa sakit

Negatif

  • Mungkin lakonan watak Hinzpeter boleh diperbaiki

Kesimpulan

Filem A Taxi Driver mengetengahkan satu topik yang berat, jadi ia mungkin tidak sesuai untuk semua penonton, namun jika anda gemarkan filem berunsurkan politik dan kemasyarakatan, filem ini sesuai untuk anda. Ia memberikan satu perspektif lain mengenai perjuangan demokrasi dan keadilan. Suntingan, lakonan dan pengolahan filem sememangnya antara yang terbaik dan pasti tidak menghampakan.

Penilaian: 9/10

IMDB

The post Retro Movie: A Taxi Driver [Korea Selatan] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2GFJSO5