Search This Blog

Project Gutenberg – Sebuah Filem Yang Tidak Syak Lagi Dari Hong Kong

Sejujurnya admin sudah lama tidak menonton filem Hong Kong, kecuali beberapa filem Jackie Chan yang kebanyakannya filem tanah besar China. Jika anda berpengalaman menonton filem-filem Hong Kong seperti Infernal Affairs dan Out Of Time, filem Hong Kong ini mempunyai feel dan vibe tersendiri. Begitulah yang dirasakan semasa menonton filem Project Gutenberg lakonan Chow Yun Fat dan Aaron Kuok. Di sini kami berkongsi pendapat mengenai filem ini.

Project Gutenberg – Sebuah Filem Yang Tidak Syak Lagi Dari Hong Kong

Project Gutenberg mengisahkan seorang pakar pemalsuan seni yang luar biasa bernama Lee Man yang ditangkap kerana aktiviti pemalsuan wang US Dollar. Dalam filem ini Lee Man telah ditangkap polis Hong Kong dan dipaksa untuk menceritakan kisah beliau mula terjebak dalam kancah pemalsuan wang. Filem thriller ini penuh dengan plot twist dan drama serta aksi mendebarkan, membuatkan anda tidak senang duduk.

Untuk mengikuti kisahnya, tonton filem ini di pawagam berhampiran anda.

Project Gutenberg

Review

Pertama sekali, filem ini adalah sebuah filem yang sangat berat. Anda bukan sahaja perlu menumpukan perhatian terhadap plot dan plot twistnya, malah anda perlu membaca sarikatanya dengan pantas kerana bahasa Kantonis memang laju. Jadi, jika anda mengantuk atau memang tidak gemar filem yang memerah otak, filem ini tidak sesuai dengan anda. Jika anda gemar filem berat sebegini, anda akan merasa puas dengan tahap cabaran minda yang ditampilkan filem ini.

Mengulas mengenai jalan ceritanya. Ia mendalami watak-watak secara mendalam dan anda perlu mengikuti hubungan antara setiap watak kerana di penghujung filem ini, plot twist yang ditampilkan sememangnya akan memecah otak bagi mereka yang tidak menumpukan perhatian atau menontonnya hanya untuk babak aksinya. Tambahan pula, kebanyakan filem ini diceritakan dalam flashback.

Sungguhpun demikian, terdapat juga babak-babak aksi yang mendebarkan, dibikin dengan gaya asli Hong Kong. Apatah lagi Chow Yun Fat yang melakonkan kebanyakan babak-babak aksi ini. Sememangnya ia satu resepi filem Hong Kong sejati. Sayangnya, kesudahan filem ini agak kurang memberangsangkan, walaupun tidak dijangka.

Dari segi lakonan, memang tidak dapat disangkal lagi kehebatan pelakon veteran-veteran Hong Kong ini dan memandangkan filem ini banyak memberi fokus kepada dua watak Aaron Kuok dan Chow Yun Fat, mutu lakonan pelakon tambahan tidak penting lagi. Anda mungkin tidak perasan pun.

Apa pun, filem ini sememangnya tanpa syak sebuah filem Hong Kong dan penonton tegar filem Hong Kong akan dapat merasakannya.

Project Gutenberg

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang menduga minda.
  • Babak aksi yang mendebarkan.
  • Lakonan mantap.

Negatif

  • Tidak sesuai untuk mereka yang tidak gemar filem berat
  • Kesudahan yang menghampakan.

Project Gutenberg

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem Project Gutenberg ini sebuah filem yang niche kepada mereka yang gemarkan filem menduga minda. Kerana itu, kami tidak menjangkakan ia akan memecah box office di Malaysia. Tapi kami yakin peminat-peminat filem sebegini akan menyukainya, atau paling kurang rasa berbaloi menontonnya.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Project Gutenberg – Sebuah Filem Yang Tidak Syak Lagi Dari Hong Kong appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2CPxFZg