Search This Blog

Rampant – Filem Zombie Korea Zaman Dahulu

Melalui filem Train To Busan, Korea semakin terkenal dengan filem-filem berasaskan zombie. Rampant merupakan sebuah lagi filem berasaskan zombie yang dibikin oleh penerbit filem Train to Busan. Kami berkesempatan menonton filem ini di pawagam tempoh hari dan ini merupakan pendapat kami mengenai filem ini.

Rampant – Filem Zombie Korea Zaman Dahulu

Rampant mengisahkan Lee Chung, seorang putera kerajaan Joseon yang dibebaskan dari menjadi tahanan kerajaan Qing setelah 10 tahun di sana. Beliau seorang pemain pedang yang handal, tetapi seorang kaki perempuan yang suka berjudi.

Pada masa yang sama raja Joseon yang semakin tua telah menjadi terlalu bergantung kepada nasihat menteri-menterinya terutamanya menteri perangnya Kim Ja-joon yang bercita-cita merampas kuasa dan mengubah hal tuju Joseon.

Untuk merampas kuasa, beliau membeli senjata api dari pedagang Belanda yang salah seorang anggota krunya terkena jangkitan penyakit pelik yang mengubah penghidapnya menjadi zombie. Menteri Kim menggunakan peluang ini untuk merampas kuasa.

Kini terpulang kepada putera Lee Chung untuk membongkar plot jahat Menteri Kim dan menyelamatkan negaranya. Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Masihkah anda ingat filem Korea Monstrum yang kami review tidak lama dahulu? Secara ringkas, filem ini sangat mirip kepada filem berkenaan dari segi struktur jalan cerita dan tema, cuma bezanya makhluk yang dilawan. Filem ini musuhnya ialah zombie, manakala makhluk dalam filem Monstrum adalah satu makhluk jadian yang ganas.

Tema menteri ingin merampas takhta sama dalam kedua-dua filem dan babak berlawan di dalam kawasan istana dengan tidak membenarkan makhluk-makhluk meninggalkan istana juga sama dalam kedua-dua filem ini. Dengan kata lain kedua filem ini hampir serupa. Ini menjadikan kerja review kami lebih mudah.

Dari segi jalan cerita, ia tidak banyak putaran plot yang kompleks. Jalan ceritanya mudah dan direct to the point. Memandangkan tema dan jalan cerita filem ini hampir sama dengan filem Monstrum, kami sudah boleh agak jalan cerita filem ini, menjadikan tontonan filem ini kurang menarik.

Zombie-zombie yang ditampilkan pula sangat mirip dengan zombie dalam Train to Busan dari segi pergerakan dan rupa parasnya. Manusia yang mula bertukar menjadi zombi akan jauh, kemudian melentikkan belakang sebelum meluru menuju mangsa dengan sepantas mungkin. Mungkinkah ini prekuel kepada Train to Busan? Kami tidak tahu.

Babak melawannya pula dibikin dengan baik dan sangat mendebarkan, samada babak manusia melawan manusia mahupun manusia melawan zombie. Nampaknya itulah perkara paling menarik mengenai filem ini.

Secara keseluruhan, filem Rampant ini sebuah filem yang dibayangi filem Monstrum, menjadikannya mudah dibaca dan dijangka. Tiada rasa antisipasi terhadap jalan ceritanya. Namun secara objektifnya, jika anda belum menonton filem Monstrum, filem ini boleh tahan sahaja. Tidak begitu teruk mahupun begitu baik.

Chang-gwol (2018) – Rampant (2018)

Positif vs Negatif

Positif

  • Babak aksi dan berlawan yang mendebarkan
  • Zombie sehebat Train to Busan

Negatif

  • Jalan cerita boleh dijangka
  • Tiada kelainan menarik di bawa

Kesimpulan

Jika disusunkan semua filem zombie Korea yang boleh dikira dengan jari, Train to Busan merupakan yang paling atas tanpa ragu. Filem ini tidak dapat menandingi filem tersebut terutamanya kerana filem ini tidak berjaya mewujudkan hubungan emosi yang kuat antara penonton dengan watak sepertimana dalam filem Train to Busan di mana babak terakhir sememangnya menyayat hati. Tontonlah filem ini jika tiada lagi filem dalam senarai tonton anda untuk bulan ini. Kalau boleh dapatkan tiket murah di awal pagi.

Penilaian: 6/10

IMDB

The post Rampant – Filem Zombie Korea Zaman Dahulu appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2qrMJnx