Search This Blog

Fabricated City [Review]

Baru-baru ini GSC mengadakan acara bertemu peminat untuk pelakon utama filem Fabricated City, Ji Chang Wook, sungguhpun admin tidak mengenali beliau, ramai peminat perempuan tergila-gilakannya membuatkan kami tertanya-tanya siapakah pelakon ini? Apa pun, filem ini mula ditayangkan di pawagam semalam dan kami sempat menontonnya untuk memberikan komen mengenai filem aksi Korea Selatan ini.

Fabricated City

Fabricated City [Review]

Fabricated City merupakan sebuah filem aksi/penyiasatan Korea Selatan mengisahkan seorang gamer bernama Kwon Yoo yang mempunyai pasukan permainan online bernama Resurrection di mana tidak seorang antara mereka pernah berjumpa secara dunia nyata, malah tidak mengetahui nama sebenar sesiapa dalam pasukan itu pun.

Namun sifat kepimpinan Kwon Yoo menyebabkan ahli-ahli pasukannya menghormati dan memandang tinggi kepadanya. Satu malam, beliau membantu seseorang perempuan dengan memulangkan telefon pintar yang tertinggal di kafe siber. Beliau kemudian pulang ke rumah. Apabila beliau bangun, beliau dikejutkan apabila ditangkap polis dan dituduh merogol dam membunuh perempuan bawah umur yang dibantunya malam tadi.

Berikutan bukiti kukuh yang secara “majik” berada di tempat kejadian, beliau didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Tidak cukup dengan itu, ibunya, satu-satunya orang yang percaya kepadanya, mati kerana “membunuh diri”. Berikutan itu, beliau berazam untuk mencari orang sebenar di sebalik konspirasi ini.

Untuk mengetahui apa yang berlaku seterusnya, tontonlah filem ini di pawagam.

Jalan Cerita dan Lakonan

Filem ini bermula dengan bergaya sekali dalam pengenalannya kepada Kwon Yoo dan pasukan permainan video online-nya. Kemudian ia tidak membuang masa untuk memulakan plotnya dengan begitu pantas. Walaupun penonton mengetahui bahawa beliau menjadi mangsa konspirasi, penonton akan tertanya-tanya apa yang berlaku dan siapa yang bertanggungjawab.

Jawapan kepada persoalan tersebut didedahkan secara perlahan-lahan dan apa yang didedahkan tidak mungkin dijangka oleh penonton. Dengan kata lain, walaupun idea pembunuhan berkonspirasi ini bukan idea yang baru, pelaksanaan ideanya murupakan satu idea unik dan jika difikirkan, jalan cerita sebegini hanya boleh dilakukan dalam filem Korea.

Walaupun secara keseluruhannya filem ini ialah filem aksi dan penyiasatan di mana anda perlu memberi perhatian kepada perkembangan jalan ceritanya untuk mengetahui konspirasi yang terjadi, ia juga diselitkan dengan lawak jenaka spontan yang memang tidak dijangka. Di samping itu, babak aksinya juga boleh dibandingkan dengan filem Fast and Furious 8.

Lakonan pelakon dalam filem ini juga harus diberi pujian dengan setiap watak mempunyai identiti unik (dan pelik) mereka sendiri. Babak aksi juga dilaksanakan pelakon dengan baik sekali.

Dengan kata lain, filem ini mempunyai adunan misteri, aksi dan lawak jenaka yang pasti menghiburkan penonton.

Positif vs Negatif

Positif

  • Idea plot yang agak unik.
  • Adunan aksi, misteri dan lawak jenaka yang menjadi.
  • Secara spesifik, lawak jenakanya memang tidak dijangka dan menjadikannya 2 kali lebih lucu dan menghiburkan.
  • Babak aksi bajet besar. Sejumlah besar kereta dihancurkan dalam babak aksi kejar-mengejar.

Negatif

  • Sesetengah babak-babak agak simplistik. Contoh, babak di mana hero melepaskan diri dari penjara.
  • Banyak mencarut dalam bahasa Korea dan tidak ditapis

Kesimpulan

Filem Fabricated City sebuah filem Korea yang sememangnya menghiburkan. Ia agak berat di bahagian penyiasatannya. Tetapi jika anda biasa menonton siri TV Korea Cheo Yeong Paranormal Detective di Astro KIX, tahap penyiasatannya lebih kurang di tahap itu. Ia bukanlah filem santai, tetapi tidaklah terlalu berat. Apa pun, peminat filem Korea dan juga peminat Ji Chang-wook pasti tidak akan hampa.

Penilaian: 7.5/10

IMDB

The post Fabricated City [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2ob0gRQ