Search This Blog

Killing Gunther [Review]

Sekali-sekala menonton filem yang luar dari genre yang biasa kita tonton akan meluaskan lagi  pandangan kita dalam dunia perfileman. Killing Gunther merupakan salah satu filem yang mempunyai tema yang luar dari kebiasaan dan kami sempat menontonnya tempoh hari untuk membuat review.

Killing Gunther [Review]

Killing Gunther mengisahkan sekumpulan pembunuh upahan yang bergabung untuk membunuh seorang lagi pembunuh upahan bernama Gunther yang terlalu handal sehingga merampas semua perniagaan mereka. Menjangkakan kemenangan, mereka mengupah kru penggambaran untuk membuat dokumentari tentang operasi mereka memburu Gunther. Filem ini adalah dokumentari tersebut.

Masalahnya, mereka tidak pernah melihat siapa Gunther dan bagaimana rupanya. Bermulalah operasi mereka memburu Gunther yang penuh dengan aksi dan lawak jenaka. Namun, dapatkah mereka memburu Gunther? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Pertama sekali, filem ini sememangnya langsung tidak serious, malah daripada temanya yang pelik, sebuah filem dokumentari komedi, kita sudah boleh tahu tahap keseriousannya. Kita pernah disajikan dengan filem bertemakan dokumentari sci-fi atau dokumentari seram, namun dokumentari komedi sememangnya suatu yang pelik. Di celah-celah babak-babak aksinya, kamera dalam filem ini akan menemuramah watak-wataknya untuk meminta pendapat mereka mengenai situasi yang sedang mereka hadapi.  Oleh itu, penonton seharusnya menonton filem ini tanpa sebarang jangkaan tinggi, barulah mereka boleh menikmatinya.

Jalan cerita filem ini memang mudah, iaitu memburu pembunuh upahan bernama Gunther dan plotnya mudah difahami serta tiada putaran plot kompleks yang memerlukan pemikiran yang mendalam. Babak aksinya bukanlah terhebat di antara filem Holywood, namun dipenuhi lawak jenaka yang lucu. Namun jenis lawak jenakanya bukanlah lawak jenaka arus perdana seperti dalam filem Thor atau The Assassins Bodyguard, malah tidak semua akan merasakan ia lucu. Ia lebih mirip lawak parodi di mana ia menjadi parodi kepada filem-filem pembunuh upahan.

Melihat Arnold Schwarzenegger membawa watak yang lucu juga satu yang jarang kita lihat. Tambahan pula dengan membayangkan beliau pernah menjadi gabenor California. Sejauh mana beliau boleh membawa watak lucu? Kami rasakan beliau patut kekal kepada watak hero aksi. Namun, memandangkan filem ini sememangnya tidak serious, kami layankan sahaja.

Pendek kata, bagi mereka yang gemar filem parodi, mereka akan suka menonton filem ini, tetapi bagi mereka yang mengharapkan filem komedi lebih mirip kepada The Assassins Bodyguard, mereka akan hampa. Apa jua keadaannya, dapatkan tiket paling murah jika mahu menonton filem ini (tayangan early bird untuk TGV atau tayangan hari Rabu untuk GSC).

Killing Gunther

Positif vs Negatif

Positif

  • Agak lucu bagi mereka yang gemar tema filem ini
  • Tema filem yang baharu
  • Babak aksi yang boleh tahan bagi sebuah filem (yang kelihatan seperti) bajet

Negatif

  • Tidak serious
  • Kelihatan seperti filem bajet.

Kesimpulan

Kesimpulannya filem ini hanyalah sebuah filem santai yang hanya untuk mereka yang sekadar mahu melepaskan tekanan atau kebosanan selepas kerja atau tugasan bertekanan tinggi. Ia tidak akan memenangi hati penonton filem yang serious, namun bagi yang hanya mahu melepaskan tekanan, filem ini memang sesuai. It ringan dan lucu, cuma jangan mengharapkan apa-apa yang hebat daripadanya.

Penilaian 6/10

IMDB

The post Killing Gunther [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2zrjvee