Search This Blog

One Two Jaga : Filem Berbahasa Melayu Paling Berani Setakat Ini

Bila bercakap tentang filem Melayu, biasanya kita akan terbayang filem komedi, filem seram atau filem animasi seperti Upin dan Ipin. Namun, filem One Two Jaga ini adalah filem berbahasa Melayu yang berani membongkar topik yang memang tidak pernah sesiapa berani bongkar, samada kerana takut tidak mendapat sambutan dari penonton ataupun takut menerima tindakan dari kerajaan.

One Two Jaga : Filem Berbahasa Melayu Paling Berani Setakat Ini

Filem One Two Jaga adalah sebuah filem yang diilhamkan kisah benar di sebalik kegiatan penyeludupan pekerja haram dan isu-isu berkaitan dengannya. Ia mengikuti beberapa watak dalam “ekosistem” pekerja asing seperti polis, sindiekt penyeludupan dan juga pekerja asing itu sendiri.

Ia mengisahkan peranan setiap pemain dalam kegiatan penyeludupan pekerja asing dan bagaimana mereka melakukannya. Dengan topik sebegini pastinya para penonton akan terkejut (mungkin juga tidak) dengan pendedahan yang dibawa film ini. Sekurang-kurangnya ia akan membuka mata rakyat Malaysia tentang kegiatan haram ini dan isu-isu yang menyumbang kepada korupsi di kalangan anggota pihak berwajib.

Review

Pertama sekali ingin kami katakan bahawa kami tidak menyangka filem sebegini provokatif akan dibenarkan ditayangkan di pawagam. Ia menyasarkan dengan jelas anggota polis, ahli politik dan rakyat Malaysia yang terlibat secara langsung dengan kegiatan haram ini. Filem ini tidak teragak-agak membongkarkan setiap pemain di setiap peringkat dan mendedahkan modus operandi mereka.

Kami telah menonton trailer filem ini beberapa hari yang lalu, tetapi rupa-rupanya trailer tersebut dikeluarkan pada tahun 2014. Dalam trailer itu juga, pelakon-pelakonnya serta latarbelakang filem ini berbeza sama sekali. Ternyata filem ini telah dibikin semula berdasarkan satu latarbelakang yang berbeza, tetapi temanya tetap sama, membongkarkan kegiatan penyeludupan pekerja asing.

Mengenai jalan ceritanya, filem ini mengeluarkan segala klise filem berbahasa Melayu dan terus kepada poin (direct to the point), ia tidak memaparkan sebarang babak yang tidak penting atau menyumbang kepada pemahaman penonton kepada situasi yang dilalui watak-watak dalam filem ini. Susunan dan olahan babak-babaknya jelas dan mudah difahami, walaupun ia satu topik yang agak berat. Putaran plot di penghujung filem juga suatu yang tidak dijangka, walaupun pernah dilihat dalam filem lain.

Walaubagaimanapun, filem ini bukan filem aksi penyiasatan, sebaliknya lebih mirip kepada dokumentari mengenai modus operandi para pemain dalam kegiatan penyeludupan pekerja asing, cuma ia diceritakan dalam bentuk filem. Jadi ia tiada babak tembak-menembak atau kejar mengejar yang mendebarkan, walaupun terdapat sedikit babak berlawan di penghujung filem.

Sinematografinya berkualiti dan setaraf dengan filem-filem terbaik asia manakala dialog dan skripnya merupakan satu perkara yang sangat saya sukai. Ia tidak menggunakan skrip skema atau klise seperti filem-filem berbahasa Melayu popular, sebaliknya ia menggunakan dialog sebagaimana orang biasa bercakap dalam dunia realiti. Ini menjadikan watak-wataknya lebih realistik dan lebih dekat dengan penonton.

Mungkin satu perkara yang negatif yang boleh kami komen mengenai filem ini ialah mekap dan kesan khas seperti kesan tembakan yang tidak begitu realistik, namun itu hanyalah perkara yang kecil dan tidak mencacatkan filem ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita dan babak yang disusun dengan baik sekali
  • Lakonan dan skrip yang realistik kepada dunia sebenar
  • membongkar dengan berani kegiatan dan sindiket penyeludupan pekerja asing

Negatif

  • Mekap dan kesan khas yang kurang memuaskan

Kesimpulan

Apabila menonton filem ini kami nasihatkan supaya memasang mindset yang betul. Ia bukan sebuah filem aksi penyiasatan Holywood, sebaliknya ia menceritakan realiti hidup mereka yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan pekerja asing. Penonton haruslah memasang mindset untuk mengambil pengajaran dan bukan untuk berhibur.

Pada pendapat kami, ia sememangnya salah sebuah filem berbahasa Melayu terhebat, namun kami tidak pasti mengenai kejayaan komersialnya. Apa pun tontonlah filem ini di pawagam, anda tidak akan menyesal.

Penilaian: 8/10

IMDB

The post One Two Jaga : Filem Berbahasa Melayu Paling Berani Setakat Ini appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2N1VbYj