Search This Blog

Johnny English Strikes Again – Adakah Lawak Mr Bean Sudah Basi?

Dalam siri filem Johnny English, filem yang paling admin gemari dan rasakan paling lucu adalah filem pertama. Filem kedua, Johnny English Reborn lucu, tetapi tidak setanding filem pertama. Kini filem ketiga dalam siri filem ini, Johnny English Strikes Again, telah mula ditayangkan dan kami sempat menontonnya di pawagam. Inilah pendapat kami mengenainya.

Johnny English Strikes Again – Adakah Lawak Mr Bean Sudah Basi?

Dalam filem Johnny English Strikes Again, agen rahsia Johnny English kini bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah berasrama penuh. Tidak mengejutkan beliau juga mengajar anak muridnya teknik-teknik pengintip yang berjaya, di samping mata pelajaran sains.

Sementara itu di agensi penyiasatan Britan, MI7, seorang penggodam handalan telah berjaya menggodam komputer MI7 dan mendedahkan identiti kesemua agen rahsia MI7. Oleh kerana tiada lagi agen rahsia yang boleh bertugas, Johnny English diambil bertugas semula untuk menyiasat dan menangkap dalang di sebalik penggodaman tersebut. Masalahnya, Johnny English tergolong dalam golongan “dinosaur” yang tidak mahir dalam perkara berteknologi tinggi seperti ini. Dapatkah beliau menangkap dalang itu? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Perkara paling prominen mengenai filem ini adalah temanya iaitu tema teknologi maklumat dan golongan tua yang kurang “tech savvy” vs golongan muda yang “tech savvy“. Ini sememangnya bukan satu tema yang baharu memandangkan banyak filem telah menggunakan tema sedemikian. Tambahan pula filem ini mengetengahkan penjenayah data dan analitik ala Google dan Apple. Dari segi temanya itu kami bersetuju, ia suatu yang relevan dalam masa sekarang dan ia juga satu topik yang harus diketengahkan.

Namun, pelaksanaannya pada pendapat kami, kurang kick. Mungkin kami jenis yang telah terlalu biasa dengan lawak jenaka dan gaya Mr Bean, maka kami berasa kebanyakan lawak jenaka dalam filem ini boleh dijangka. Bukan kami kata lawaknya tidak kelakar, namun, kami telah terbiasa dengan gaya lawak Rowan Atkinson ini sehingga kami boleh meneka lawak yang akan dilakukannya. Tambahan pula, dalam panggung wayang, hanya tiga, empat kali sahaja kami mendengar penonton gelak ketawa dengan bersungguh. Mungkin kami dah terlalu tua untuk lawak sebegini, tapi entahlah.

Pengenalan karektor-karektornya juga kurang mendalam, hasilnya karakter watak-wataknya kurang menonjol dan memberi impak. Sebagai contoh, latar belakang watak perisik Russia, Ophilea, tidak diperkenalkan secara mendalam menyebabkan penonton tidak dapat menghayati sepenuhnya watak berkenaan dan hanya melihatnya sebagai watak tambahan yang berlakon di latar belakang. Watak perdana menteri juga sedikit pelik. Jika sebelum ini watak ketua kepada Johnny English biasanya serious dan melihat permasalahan yang berlaku secara serious, watak perdana menteri kali ini seolah-olah pelawak dan tidak serious.

Begitu juga dengan jalan ceritanya, walaupun ia bukanlah filem perisik seperti James Bond, namun kami masih mengharapkan satu jalan cerita yang menarik. Malangnya, filem ini tidak menyajikan satu jalan cerita yang lebih dari biasa. Jalan ceritanya OK sahaja, walaupun terdapat satu dua putaran plot yang lucu. Durasi filem ini juga pendek iaitu 1 jam setengah dan ia memang terasa pendek ketika ditonton.

Positif vs Negatif

Positif

  • Secara keseluruhan suatu filem yang menghiburkan
  • Tema teknologi maklumat yang relevan

Negatif

  • Jalan cerita yang agak ringkas
  • Lawak jenaka yang boleh dijangka
  • Karakter watak-watak yang tidak kuat

Johnny English Strikes Again

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, filem Johnny English Strikes Again adalah sebuah filem yang OK. Cuma mungkin secara peribadi, kami sudah masak dengan lawak jenaka gaya Rowan Atkinson. Jika anda seorang yang masih minat dengan gaya lawak jenakanya, anda tentu akan tidak kering gusi bergelak ketawa menonton filem ini.

Penilaian – 6.5/10

IMDB

The post Johnny English Strikes Again – Adakah Lawak Mr Bean Sudah Basi? appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2MwdwHP