Search This Blog

Flatliners [Review]

Setelah membuat sedikit kajian latarbelakang, filem Flatliners adalah remake filem dengan tajuk yang sama yang telah diterbitkan pada tahun 1990. Menariknya, dalam filem versi 1990, Kiefer Sutherland memainkan watak utama, namun dalam versi 2017, beliau juga berlakon dalam filem ini, namun sebagai Dr. Barry Wolfson, tenaga pengajar di sekolah perubatan dalam filem tersebut. Apa pun, memandangkan kami belum menonton filem ini, apa salahnya kami menonton dan memberi pendapat kami mengenainya.

Flatliners [Review]

Flatliners mengisahkan lima pelajar perubatan yang menjalankan eksperiman untuk mengkaji dan merakam corak aktiviti otak selepas kematian. Mereka juga ingin mengalami pengalaman mati hidup semula yang dikhabarkan sangat ajaib. Untuk itu mereka menggunakan ilmu perubatan mereka untuk menghentikan jantung mereka dan selepas seminit atau dua, mereka akan menghidupkan semula orang yang mati itu menggunakan kaedah perubatan kecemasan. Peserta aktiviti ini diberi nama Flatliners.

Semuanya berjalan lancar dan 4 daripada 5 orang antara mereka telah mencuba pengalaman “flatlining“. Apa tidaknya, perbuatan itu didapati meningkatkan aktiviti otak dan membuatkan flatliner itu berupaya mengingati segala perkara yang mereka pernah baca dengan mudah. Dengan kata lain, ia menjadikan mereka lebih bijak. Namun tidak lama kemudian, perkara-perkara aneh mula berlaku dan menggugat mereka. Apakah yang berlaku kepada mereka? Untuk mengetahuinya, tonton filem ini di pawagam berhampiran.

Review

Flatliners membincangkan satu isu yang banyak dipersoalkan oleh ramai skeptik iaitu, apakah yang terjadi kepada anda apabila anda mati? Apakah itu roh dan bolehkah kehadirannya diukur secara saintifik? Walaupun bagi orang Islam, perkara tersebut telahpun dijelaskan secara terperinci oleh Al-Quran dan sunnah, untuk orang lain, persoalan ini sentiasa berada di minda mereka dan mereka perlukan bukti.

Tema filem ini ialah mencari bukti kewujudan roh dan merakam aktiviti otak ketika mati adalah caranya. Samada filem ini menarik kepada anda, bergantung kepada berapa minat anda kepada persoalan tersebut. Apa pun pendapat anda tentang persoalan ini filem seram ini menggunakan taktik-taktik biasa yang digunakan oleh filem seram lain iaitu elemen terkejut. Ia tidaklah begitu menakutkan sebaliknya menggunakan element kejutan bagi menakutkan penonton.

 

Tidak dapat dinafikan bahawa bagi mereka yang belum menonton filem asal, tema filem ini adalah sesuatu yang baharu, tetapi sunggupun demikian, selain temanya, ia menggunapakai elemen-elemen filem seram yang biasa, menjadikan jalan ceritanya kurang menarik dan boleh dijangka. Elemen mendapat kebolehan luarbiasa selepas mengalami flatlining sepatutnya menjadi fokus utama filem ini, namun entah kenapa pengarah tidak mahu menekankan poin-poin tersebut dalam filem ini bagi menjadikannya lebih menarik.

Lakonan watak-watak dalam filem ini bukanlah satu yang menonjol atau menjadi kekuatan filem ini dan tidak perlu diulas banyak.

Positif vs Negatif

Positif

  • Mengetengahkan satu topik yang menarik
  • Tidak begitu membosankan. Anda boleh menontonnya sehingga habis tanpa teras perlu keluar panggung.

Negatif

  • Jalan cerita yang boleh dijangka
  • Menggunakan taktik filem seram yang biasa digunakan
  • Kesudahan yang agak kurang dramatik

Flatliners

Kesimpulan

Filem Flatliners merupakan filem seram yang berstatus biasa-biasa sahaja. Malah kami rasakan ia lebih sesuai menjadi drama TV berbanding ditayangkan di pawagam. Ia tidak begitu menarik, namun pada masa yang sama ia tidaklah membosankan. Tidak banyak boleh diperkatakan selain, jika anda telah menonton semua filem lain yang ingin anda tonton, barulah anda patut menonton filem ini.

Penilaian: 6/10

IMDB

The post Flatliners [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2l7K6aE