Search This Blog

Ready Player One – Filem Epik Untuk Para Gamers dan Peminat Budaya Pop

Filem Ready Player One sememangnya sebuah filem yang kami tunggu-tunggu sejank pengenalan trailernya yang memang mengujakan dan dipenuhi karektor gaming serta ikon-ikon budaya pop masa lalu. Namun sejauhmanakah filem ini menepati hype yang ditonjolkannya? Kami telah menonton filem ini untuk mengetahui jawapannya.

Ready Player One – Filem Epik Untuk Para Gamers dan Peminat Budaya Pop

Kisah Ready Player One berlangsung pada tahun 2045 di mana kebanyakan rakyat Amerika hidup dalam kemiskinan dan satu-satunya cara untuk melepaskan diri dari kesengsaraan hidup adalah untuk memasuki dunia maya bernama The Oasis di mana anda boleh jadi apa sahaja yang anda mahu. Kisahnya menjadi lebih menarik apabila pencipta The Oasis, James Halliday, meninggal dunia. Sebelum beliau meninggal dunia, beliau mengumumkan beliau menyorokkan sebiji “Easter Egg” iaitu satu barang istimewa yang tersorok, di dalam The Oasis dan sesiapa yang berjaya menjumpainya, beliau akan mewarisi kekayaan setengah Trillion kredit dan kawalan sepenuhnya ke atas The Oasis.

Namun untuk mendapat akses kepada Easter Egg berkenaan, pemain perlu mendapatkan tiga kunci berlainan yang membuka pintu kepada Easter Egg berkenaan. Untuk mendapat setiap kunci itu, pemain harus menjalani 3 cabaran permainan berlainan. Malangnya dalam 5 tahun sejak mesej James Halliday disebarkan, tiada satu pun pemain berjaya melepasi cabaran pertama pun. Di sinilah watak Parzival atau Wade Watts masuk. Beliau merupakan salah seorang pemain yang memburu Easter Egg berkenaan. Adakah beliau dan rakan-rakan mayanya akan berjaya mendapatkan Easter Egg itu? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Terus terang, filem ini sememangnya dibikin khas untuk gamer tegar serta geek filem popular. Menariknya permainan-permainan video yang menjadi tema dalam filem ini menonjol kepada kedua-dua Gen X dan Millennial dan lebih muda. Gen X (atau Xennial) seperti Admin lebih tertarik kepada permainan zama 80an – 90an yang ditampilkan, manakala golongan millennial pula akan tertarik kepada struktur permainan online yang menjadi tema utama filem ini. Dengan kata lain, ia sesuai untuk kedua generasi ini, cuma mungkin ia lebih bias kepada golongan millennial yang lebih “online” berbanding Gen X.

Jalan cerita filem ini mengambil tema pemberontakan golongan marhaen yang berjiwa gamers kepada syarikat korporat besar yang lebih mementingkan keuntungan. Lebih kurang seperti Hunger Games, tetapi lebih mesra kanak-kanak. Sesuai dengan sifat mesra kanak-kanak filem ini, jalan ceritanya tidaklah terlalu berat atau ganas seperti filem-filem yang lebih dewasa. Jadi mereka yang lebih matang (atau berumur) mungkin tidak akan melihat filem ini begitu menarik berbanding golongan yang lebih muda. Jalan ceritanya OK, tidak terlalu hebat mahupun membosankan, dan terdapat putaran plot dan lawak jenaka yang mencukupi untuk mengelakkan filem ini menjadi terlalu membosankan.

Rekabentuk dan pengolahan dunia maya The Oasis, tidaklah sedalam atau teliti seperti yang kami harapkan, namun ia cukup menarik untuk mengekalkan minat kami kepada filem ini yang berdurasi 2 jam 20 minit. Banyak watak-watak gaming yang popular telah digunakan untuk memberikan impresi relevan kepada penonton, terutamanya generasi yang lebih senior.

Secara keseluruhan, filem ini agak menghiburkan, namun bergantung kepada tahap minat dan penglibatan anda dalam bidang gaming samada online atau offline. Jika anda jenis yang tidak bermain permainan video, berkemungkinan besar perasaan relevan semasa menonton filem ini akan kurang dan mungkin anda tidak akan berasa seronok seperti mereka yang meminati permainan video. Admin sememangnya terlibat dalam bidang gaming  sejak tahun 90an lagi, jadi menonton filem ini terasa relevan dan agak seronok.

Ready Player One

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita dan rekabentuk dunia yang agak menarik.
  • Pengajaran pada penghujung filem ini tidak seperti yang dijangka.
  • Banyak menggunakan rujukan kepada permainan video terkenal dan mengimbau nostalgia permainan video zaman dahulu kala.

Negatif

  • Keseronokan menonton filem ini bergantung kepada minat anda kepada permainan video serta umur anda
  • Jalan cerita yang menarik, tetapi tidaklah sehebat mana
  • Kurang sofistiketed berbanding filem sci-fi yang hebat

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem Ready Player One ini adalah sebuah filem di mana peminat permainan video boleh berkumpul, menonton wayang dan mengimbau nostalgia mereka dalam bidang permainan video. Jika anda peminat permainan video, anda patut pergi. Jika anda bukan, anda boleh menontonnya sebagai sebuah filem sci-fi, tetapi anda tidak akan menikmatinya pada tahap yang sama dengan peminat permainan video.

Penilaian: 7.5/10

IMDB

The post Ready Player One – Filem Epik Untuk Para Gamers dan Peminat Budaya Pop appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2Gp2TnS