Search This Blog

Solo A Star Wars Story Tidak Sehebat Jangkaan

Solo A Star Wars Story merupakan filem terbaharu dalam francais filem Star Wars baharu yang dimulai dengan Star Wars Episode VII beberapa tahun lalu. Walaupun filem ini tidak begitu hype dalam minggu-minggu menuju tayangannya, kami tetapi menanti filem ini. Semalam kami sempat menonton filem ini dan kami ingin berkongsi pendapat kami mengenai filem ini. Menariknya, kami menonton filem ini di IMAX Sunway Velocity dan kami hanya perlu membayar RM17 untuk dua tiket dengan promosi bayaran dengan kad kredit Maybank (beli 1 percuma 1). Bermakna, kami hanya perlu membayar RM8.50 seorang untuk tayangan bertaraf IMAX 2D. Memang berbaloi.

Solo A Star Wars Story

Solo A Star Wars Story Tidak Sehebat Jangkaan

Solo A Star Wars Story merupakan filem “origin” bagi watak Han Solo dalam saga Star Wars. Ia menceritakan asal usul Han Solo, seorang anak gelandangan yang terperangkap dalam kancah jenayah. Beliau dan kekasihnya, Qi’ra bercita-cita melepaskan diri dari cengkaman kumpulan penjenayah planet Corellia di mana mereka dilahirkan. Han Solo bercita-cita menjadi juruterbang dan memiliki kapal angkasanya sendiri setelah berjaya melepaskan diri.

Malangnya dalam usaha melepaskan diri, Qi’ra berjaya ditangkap semula manakala Solo berjaya lepas. Apakah yang akan dilakukan Solo selepas itu? Untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam berhampiran anda.

Review

Pertama sekali, secara umumnya, filem ini bukan sebuah filem yang tidak mempunyai kepentingan atau impak yang sama dengan filem-filem spin-off Star Wars lain seperti Rogue One. Malah hanya peminat tegar Star Wars seperti Admin No 2 sahaja akan menyedari kepentingan filem ini dan di mana letaknya di dalam timeline filem-filem saga Star Wars yang utama. Menurutnya, filem ini berlangsung sebelum Rogue One dan selepas Episode III. Ini kerana terdapat watak dalam filem ini yang muncul dalam filem Rogue One. Tambahan pula, kemunculan satu watak lama yang saya sendiri sangka sudah mati. Namun, bagi peminat tegar yang menonton siri animasi Star Wars Rebel akan mengetahui watak tersebut sememangnya masih hidup. Pendek kata, hanya peminat tegar Star Wars akan memahami sepenuhnya signifikannya jalan cerita filem ini.

Namun bagi peminat part time seperti saya, adakah ia berbaloi untuk ditonton? Satu kelebihan filem ini bagi peminat part time adalah filem ini meneroka satu segmen Star Wars berbeza, iaitu para penjenayah terancang. Oleh sebab itu, filem ini tidak banyak menampilkan tentera Galactic Empire, malah ia hampir tidak terasa seperti sebuah filem Star Wars, sebaliknya ia lebih seperti sebuah filem sci fi berasingan.

Jadi, jika dinilai sebagai sebuah filem sci fi berasingan, filem ini tidaklah begitu gempak sepertimana filem-filem yang lain. Jalan ceritanya tidak begitu sofistiketed dan walaupun terdapat sedikit putaran plot, ia tidaklah begitu mengejutkan. Babak-babak aksinya boleh tahan dan setaraf dengan mana-mana filem Star Wars, cuma dalam skala yang lebih kecil. Kelihatan filem ini bertanggungjawab hanya untuk memperkenalkan sejarah watak-watak utama Han Solo, Chewbacca dan Lando Calrissian.

Bukan kami nak kata filem ini tidak bagus, sebagai sebuah filem sci-fi-aksi-pengembaraan, ianya OK, cuma ia tidak menawarkan sesuatu yang baharu. Kami tidak jangka ia akan memecah mana-mana rekod box office.

Positif vs Negatif

Positif

  • Nilai pembikinan yang tinggi
  • Jalan cerita yang OK
  • Lakonan dan nilai hiburan yang OK juga.

Negatif

  • Tiada faktor “WOW
  • Jika dibandingkan dengan filem Star Wars yang lain, jelas ia mendapat bajet yang kurang sedikit.

Kesimpulan

Kesimpulannya filem Solo A Star Wars Story merupakan sebuah filem yang OK. Ia tidaklah teruk dan tidaklah begitu baik. Malah kami berpendapat jika anda tidak menonton filem ini pun, tidak rugi kerana ia tidak memberi kesan yang besar kepada jalan cerita filem Star Wars yang utama. Tetapi sekiranya mereka ingin membikin satu siri TV berdasarkan Han Solo, mungkin agak penting untuk anda menonton filem ini. Tetapi kami tidak merasakan sebuah siri TV akan dibikin setakat ini. Apa pun, selamat menonton!

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Solo A Star Wars Story Tidak Sehebat Jangkaan appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2J5NMUZ