Search This Blog

Aquaman – Filem Adiwira atau Fantasi?

Tidak banyak yang kami tahu tentang latarbelakang Aquaman sebelum ini selain gambaran dari filem Justice League, memandangkan kami bukan pembaca komik DC Comics. Tetapi kami terpanggil untuk menonton filem ini sebagai kesinambungan dari filem Justice League. Kami berkesempatan menonton filem ini baru-baru ini dan berikut pendapat kami mengenai filem ini.

Aquaman – Filem Adiwira atau Fantasi?

Filem Aquaman mengisahkan latarbelakang di sebalik watak Aquaman yang diperkenalkan dalam filem Justice League. Beliau merupakan seorang berketurunan diraja dari Atlantis, iaitu sebuah kerajaan di bawah laut. Beliau adalah anak hasil perkahwinan ibunya, pemaisuri Atlantis dengan seorang manusia biasa, penjaga rumah api di tepi laut.

Memandangkan Aquaman, atau nama manusianya Arthur Curry, tidak mahu menuntut takhta Atlantis, adik tirinya, Orm, menuntutnya sendiri. Namun Orm pula terlibat dengan konspirasi untuk memulakan peperangan antara pihak Atlantis dengan manusia di darat. Mampukah Aquaman menghentikan peperangan ini? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Sebagai peringatan, filem Aquaman ini berlangsung selepas filem Justice League, jadi segala yang berlaku dalam filem tersebut diambil kira. Apa yang disedari sejak awal lagi adalah identiti Aquaman bukanlah begitu rahsia. Semua rakan sekampungnya mengetahui bahawa Arthur Curry adalah Aquaman, cuma secara umum kebanyakan orang tidak mengenalinya. Kisah sejarah beliau diterangkan secara ringkas dalam filem ini mungkin kerana ingin menumpukan kepada kisah utama filem ini. Lagipun, beliau telahpun diperkenalkan dalam Justice League. Jadi tiadalah kisah sejarah berjela-jela dalam filem ini.

Terdapat dua kisah dalam jalan cerita Aquaman ini. Pertama permusuhannya dengan Black Manta dan pertikaiannya dengan King Orm, adik tirinya. Sejujurnya, penulis filem ini seolah memasukkan banyak ‘drama’ dengan memasukkan dua elemen ini. Pertikaiannya dengan King Orm sudahpun merupakan satu kisah yang besar dan cukup untuk memenuhi keseluruhan jalan cerita filem ini, tetapi penulis memilih untuk memasukkan kisah kedua-dua lawan Aquaman dalam satu filem. Namun, di penghujung filem, barulah kami memahami kenapa kisah watak Black Manta disertakan dalam filem ini. Beliau akan memainkan peranan penting dalam filem Aquaman seterusnya. Pendek kata, jalan cerita filem ini sedikit semak, namun kami memahami sebab kenapa ia demikian.

Bercakap mengenai jalan cerita filem ini, ia lebih mirip sebuah filem fantasi/adventure berbanding sebuah filem adiwira. Ini kerana kebanyakan misi-misi dan situasi yang dialami watak protagonis lebih menyerupai sebuah filem seperti Lord of the Rings atau The Mummy di mana watak-wataknya perlu menjalani misi atau cabaran untuk mencapai sesuatu, sebelum menyelamatkan dunia. Tema perebutan takhta Atlantis juga satu tema yang sinonim dengan filem fantasi. Tetapi, sungguhpun demikian jalan ceritanya OK jika anda menonton tanpa sebarang prasangka.

Seperti filem Justice League, penulis sutradara cuba menceriakan suasana dengan membikin lawak jenaka dalam filem ini untuk membuang imej gelap yang sering dikaitkan dengan filem DC Comics. Namun, lawak jenakanya tidak begitu konsisten sepanjang filem. Seolah hanya babak-babak tertentu sahaja Aquaman mempunyai personaliti lucu dan dalam babak-babak lainnya lawaknya tidak menjadi.

Babak-babak aksi yang dihidangkan banyak dan pelbagai. Kebanyakannya mendebarkan, namun menjelang ke penghujung filem, babak aksinya semakin berjela-jela dan sedikit monotonous, sehingga admin sendiri hampir tertidur semasa babak peperangan terakhir. Tetapi secara keseluruhan, unsur-unsur aksi dalam filem ini cukup untuk menghiburkan peminat filem aksi tegar.

Aquaman

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita secara keseluruhan memuaskan
  • Babak aksi yang memuaskan

Negatif

  • Lebih mirip filem fantasi/adventure berbanding filem adiwira.
  • Tidak begitu unik dalam jalan ceritanya

Kesimpulan

Daripada pengamatan kami di atas talian, ramai juga yang memberi penilaian tinggi terhadap filem ini. Malah Oh! Media juga memberi pujian tinggi terhadap filem ini. Namaun, pada pendapat kami, walaupun filem ini tidak seteruk filem-filem DC Comics baru-baru ini, ia taklah sehebat yang digambarkan, cuma ia jauh lebih baik berbanding filem-filem Batman Ben Affleck, Justice League dan Suicide Squad. Ia sebuah filem yang menyeronokkan dan menghiburkan. Mungkin ini adalah jasa pengarahnya James Wan yang memberi sudut pandang berbeza kepada filem DC Comics. Beliau cuba menerapkan elemen seperti yang dilihat dalam filem Marvel Studios. Lawak jenaka filem DC sudah bertambah baik, walaupun tidak begitu konsisten sepanjang filem. Tetapi pada akhirnya, ia juga sebuah filem yang jalan ceritanya boleh dijangka dan tidak banyak yang unik mengenainya pada pendapat kami. Kami masih boleh merekomen ini kepada anda jika anda peminat filem DC Comics.

Penilaian: 7/10

The post Aquaman – Filem Adiwira atau Fantasi? appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2RYFK1w