Search This Blog

Backtrace – Filem Thriller Menumpang Glamor Stallone

Sejak akhir-akhir ini, kita dapat melihat semakin banyak filem bajat rendah yang dibintangi pelakon veteren terkenal seperti filem Escape Plan 2 dan Black Water yang kami review tidak lama dahulu. Kami gelarkan filem-filem ini sebagai filem cari makan; iaitu filem bajet rendah yang dibintangi pelakon veteren terkenal yang digunakan untuk melariskan filem tersebut, tetapi hakikatnya filem tersebut hanya menyasarkan untuk mencari kutipan cukup-cukup makan. Nampaknya trend itu tidak terhenti dan terbaharu, dilihat dalam filem Backtrace.

Backtrace – Filem Thriller Menumpang Glamor Stallone

Backtrace mengisahkan sekumpulan perompak diketuai Macdonald yang merompak bank dan kemudian membahagikan wang rompakan dengan sekumpulan kumpulan yang bersubahat dengan mereka. Malangnya kumpulan subahat tersebut tidak berpuas hati kerana Macdonald telah mengambil potongan kumpulannya tanpa persetujuan mereka. Apatah lagi Macdonald telah menyorokkan bahagiannya di tempat yang hanya kumpulannya sahaja tahu kedudukannya.

Kemudian satu insiden tembak-menembak antara mereka berlaku dan rakan-rakan Macdonald mati manakala beliau ditembak di kepala menyebabkan beliau hilang ingatan. Polis yang menangkapnya telah memenjarakannya.

7 tahun kemudian Macdonald mendapati ada sekumpulan orang yang berkomplot untuk melepaskannya dari penjara. Kenapa? Untuk mengetahui jawapannya, tontonlah filem ini di pawagam.

Review

Tidak dapat dinafikan filem ini sememangnya berunsurkan bajet dan dapat dilihat dari awal lagi. Sebagai contoh, dalam adegan tembak-menembak pada awal filem ini, kereta-kereta yang terkena tembakan tidak langsung mengalami kerosakkan dan hanya CGI tembakan yang digunakan. Trend ini juga dilhat sepanjang filem ini.

Kemudian, tidak banyak lokasi penggambaran dilihat dalam filem ini. Anda mungkin boleh mengira dengan jari sahaja.

Dari segi jalan cerita, ia umpama sebuah filem teori konspirasi yang dibikin atau diolah oleh amateur. Bermakna, potensi untuk menjadi sebuah filem yang OK (tidak mungkin menjadi filem yang hebat) tetap ada, namun mungkin kerana pengarah dan krew produksi tidak berpengalaman, hasilnya tidak memberangsangkan.

Sungguhpun demikian, pelakon-pelakon filem ini cukup komited untuk menjayakan filem ini dan berlakon dengan baik, walaupun sebagai sebuah keluarga, pelakon-pelakon dalam filem ini kurang menunjukkan ikatan kasih sayang sebagai keluarga. Juga, jangan tertipu, walaupun Stallone merupakan watak utama dalam filem ini, beliau tidak memainkan peranan penting dalam filem tersebut dan hanya beraksi secara serious di penghujung filem.

Pendek kata filem ini lebih mirip sebuah filem yang patut ditayangkan di stesen TV berbayar seperti HBO atau Netflix berbanding di pawagam. Itu pun kami kurang yakin ia akan berjaya melepasi saringan kualiti Netflix yang tampil dengan filem-filem yang agak memberangsangkan akhir-akhir ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • OK untuk ditonton jika tiada filem lain untuk ditonton
  • Plot yang OK dan mampu membuatkan anda menonton ke penghujung.

Negatif

  • Tidak mencapai kualiti yang sepatutnya, dari segi jalan cerita, untuk ditonton di panggung.

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem ini hakikatnya adalah sebuah thriller TV yang tersesat ke panggung wayang. Mungkin pihak Holywood menganggap jika menampilkan pelakon veteran terkenal mampu menarik minat penonton yang secukupnya untuk mengutip kutipan cukup-cukup makan. Apa pun, tontonlah filem ini jika tiada filem lain yang ingin anda tonton. Jika anda jenis penonton yang boleh layan apa sahaja yang anda tonton, anda mungkin boleh enjoy filem ini.

Penilaian: 4/10

IMDB

The post Backtrace – Filem Thriller Menumpang Glamor Stallone appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://bit.ly/2BI2dJn