Search This Blog

Alita Battle Angel – Adaptasi Manga ke Live Action Terbaik Setakat Ini

Sepertimana yang anda ketahui, untuk mengadaptasikan sesebuah manga ke filem Live Action sememangnya sukar dan biasanya ke laut. Lihat saja filem Ghost in the Shell dan Attack on Titan yang boleh kita isytiharkan sebagai filem adaptasi manga/anime yang gagal. Walaubagaimanapun, daripada beberapa trailer yang diterbitkan, filem Alita Battle Angel menarik minat kami, walaupun sebelum ini kami tidak pernah mendengar manga di mana filem tersebut diadaptasi. Kami sempat menonton filem ini dan kini kami berkongsi pendapat mengenai filem ini.

Alita Battle Angel – Adaptasi Manga ke Live Action Terbaik Setakat Ini

Filem Alita Battle Angel adalah adaptasi manga Jepun dengan tajuk yang sama. Ia berkisar mengenai dunia 300 tahun selepas “The Fall”, kesudahan dari sebuah peperangan besar yang berlaku 300 tahun lalu. Bumi berpecah kepada dua. Golongan elite tinggal di Zalem, sebuah bandar terapung yang merupakan bandar terapung terakhir yang bertahan selepas “The Fall”. Sementara itu golongan bawahan tinggal di bandar Iron City yang terletak di bawah Zalem.

Dr Dyson Ido merupakan seorang pakar cyborg yang berasal dari Zalem tetapi telah dihalau keluar ke Iron City. Di sana beliau membuka klinik cyborg dan merawat pelanggannya yang terdiri dari manusia spara cyborg secara amal. Satu hari, semasa mencari barang lusuh antara barangan buangan dari Zalem, beliau terjumpa teras cyborg yang mana otak manusianya masih utuh. Beliau membawanya pulang dan memasangkannya kepada badan cyborg milik anaknya yang telah mati dalam satu rompakan.

Maka hiduplah cyborg berkenaan dan diberi nama Alita, sempena anak Dr Dyson. Namun Alita tidak mempunyai ingatan dari kehidupan sebelumnya. Jadi, mulalah Alita mengenali dunia berkenaan. Dapatkah beliau menyesuaikan diri dengan dunia baharunya itu dan mampukah beliau mendapatkan kembali memori silamnya? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Dari awal lagi filem ini tidak membuang masa dan terus kepada isi pentingnya, iaitu bagaimana Alita dihidupkan kembali oleh Dr Dyson. Ia tidak memerlukan apa-apa pengenalan latarbelakang, memandangkan sejarah Alita akan didedahkan sedikit demi sedikit sepanjang filem ini. Dunia persekitaran Alita yang dihasilkan pengarah Robert Rodriguez dan produser James Cameron bersama Jon Landau adalah sebuah dunia yang tidak sekompleks dunia Blade Runner dan tidak pula semudah dunia Hunger Games. Dunianya mempunyai keunikannya tersendiri, tetapi tidaklah terlalu serious atau berat sehinggakan penonton merasa terbeban untuk memahami selok belok dan peraturan dunia tersebut. Bersesuaian dengan sebuah filem adaptasi manga.

Kami tidak pernah membaca manga Alita Battle Angel, tetapi dari awal lagi kami tidak hairan kenapa filem ini mudah diadaptasikan menjadi sebuah filem Holywood, tidak seperti filem lain sebelumnya. Tema sci-fi dystopia sememangnya menjadi kekuatan Holywood, ditambahkan dengan kreativiti karyawan manga Jepun mengimejinasikan dunia fantasi, ia sememangnya sebuah filem yang menarik.

Tetapi jangan tersilap, filem ini masih mengekalkan elemen manga Jepun dalam jalan ceritanya. Dari idealism karakter Alita, babak-babak berlawannya, hingga ke jalan cerita keseluruhannya, semuanya tidak syak lagi mempunyai nuansa sebuah manga/anime. Oleh sebab demikian, babak lawan dalam filem ini mempunyai unsur ganas ala fatality yang dapat dilihat dalam permainan video Mortal Kombat terbaharu. Oleh itu, walaupun babak demikian tidak banyak, dan kebanyakan yang dibunuh adalah cyborg-manusia, ia agak ganas untuk ditonton oleh kanak-kanak. Namun, jika anda 18 tahun ke atas, babak lawannya sememangnya terbaik. Tambahan pula karakternya CGI, jadi, tiada yang mustahil dari segi koreografi babak lawannya.

Pendek kata, filem ini bukan sahaja adaptasi manga ke live action terbaik kami pernah tonton, malah satu adaptasi bahan seni timur ke layar perak barat.

[Spoiler – Berdasarkan kesudahan filem ini, kami simpulkan bahawa akan ada beberapa sequel Alita di masa akan datang. Tetapi semuanya bergantung kepada sambutan.]

Positif vs Negatif

Positif

  • Dunia Alita digambarkan dengan baik.
  • Babak lawan yang hebat.
  • Jalan cerita yang tidak terlalu berat dan memuaskan hati.

Negatif

  • Sesetengah babak atau jalan cerita tidak diceritakan secara mendalam.
  • Unsur anime/manga mengatasi unsur sci-fi, jadi ia mungkin kurang menarik bagi golongan peminat sci-fi generasi lebih lanjut (40 tahun ke atas).

Alita Battle Angel

Kesimpulan

Filem Alita Battle Angel sememangnya sebuah adaptasi manga yang baik dan walaupun anda tidak tahu bahawa ia sebuah adaptasi manga, anda mungkin akan menyangka sebuah filem sci-fi Holywood yang tulen. Namun, apa pun ia tetap sebuah adaptasi manga, jadi ia masih mensasarkan remaja dan golongan dewasa muda serta tidak berasaskan atau diilhamkan teori-teori sains sebenar sepertimana filem-filem sci-fi Holywood yang diminati golongan hardcore sci-fi.

Alita Battle Angel

Akhir kata, filem ini sememangnya sebuah filem mesti tonton. Anda tentu terhibur menontonnya.

[Spoiler: Cat merah kat bawah mata Alita sebenarnya adalah darah anjing. Tontonlah filem ini untuk mengetahui mengenainya.]

Penilaian: 7.5/10

IMDB

The post Alita Battle Angel – Adaptasi Manga ke Live Action Terbaik Setakat Ini appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://bit.ly/2Gvy2sJ