Search This Blog

Exorcism Haunted Child [Review]

Kami pasukan Wayangkini sepakat mengatakan filem-filem benar-benar seram ditayangkan di pawagam kebanyakannya filem Thailand. Filem Holywood banyak menggunakan element terkejut dan pada akhirnya tidak begitu seram. Namun kami belum pernah cuba menonton filem seram Vietnam dan filem Exorcism Haunter Child membuka peluang kami untuk diperkenalkan kepada filem seram dari negara berkenaan. Sejujurnya, ini merupakan filem Vietnam pertama kami tonton.

Exorcism Haunted Child

Exorcism Haunted Child [Review]

Agak sukar untuk kami memberikan sinopsis filem ini kerana terdapat sedikit kecelaruan dari segi jalan ceritanya. Namun bolehlah kami simpulkan filem Exorcism Haunted Child ini mengisahkan perkara-perkara menyeramkan yang berlaku kepada seorang lelaki yang telah melanggar lari seorang warga emas yang berjalan ketika beliau menunggang motosikal bersama teman wanitanya pada suatu malam.

Apakah perkara menyeramkan yang berlaku kepadanya? Tontonilah filem ini di pawagam untuk mengetahuinya.

excor

Jalan Cerita

Seperti dijelaskan pada awal artikel, jalan cerita filem ini agak bercelaru tetapi pada masa yang sama cara pengolahannya agak bijak. Bagi menerangkan kecelaruan ini kami bahagikan filem ini kepada dua bahagian. Bahagian pertamanya seram, tetapi tiada hantu yang sebenar dan bahagian kedua tidak begitu seram tetapi berhantu.

Watak utama dalam kedua-dua bahagian filem ini berbeza, namun filem ini merupakan satu filem yang berkaitan dan bukan dua filem berbeza. Filem ini merupakan filem yang memaparkan kesudahan filem pada permulaan filem dan kemudiannya menceritakan bagaimana keadaan boleh sampai kepada pengakhiran sebegitu.

Kami merasakan cara pengolahannya agak bijak, namun menyusunan isi jalan ceritanya agak mengelirukan.

Lakonan

Memandangkan ini kali pertama kami menonton filem Vietnam, kami tidak berapa arif untuk menilai standard lakonan pelakon negara tersebut. Tetapi dari pandangan kami, lakonan pelakon filem ini baik walaupun kami tidak memahami bahasa Vietnam yang bunyinya sedikit aneh buat kami.

excor3

Positif vs Negetif

Positif

  • Pengolahan filem yang agak bijak, walaupun sedikit mengelirukan
  • Bahagian awal filem ini seram dan ditulis dengan baik.

Negetif

  • Bahagian kedua filem ini tidak begitu seram walaupun berhantu.
  • banyak babak membazir di bahagian separuh kedua.

Kesimpulan

Walaupun penulis secara peribadi bukan peminat filem seram, namun filem ini agak berpotensi untuk menghiburkan peminat filem genre ini. Namun, janganlah meletakkan harapan terlalu tinggi kepada filem ini, sebaliknya tonton sahaja tanpa sebarang persepsi awal.

The post Exorcism Haunted Child [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/1IFwiU7

Poltergeist [Review]

Poltergeist merupakan pembikinan semula filem dengan tajuk sama yang dibikin pada tahun 1982 yang diarahkan Tobe Hooper dan ditulis oleh Steven Spielberg. Filem baharu ini diarahkan oleh Gil Kenan. Walaupun kurang ingat jalan ceritanya, penulis masih ingat pertama kali menonton filem Poltergeist (1982) sekitar tahun 90an dan merasakan di samping menakutkan, ia juga merupakan sebuah filem seram yang unik ketika itu. Jadi bagaimanakah filem baharu ini dibandingkan dengan yang asal? Mari kita selami bersama.

poltergeist_2015-2560x1600

Poltergeist [Review]

Poltergeist mengisahkan sebuah keluarga yang berpindah ke kawasan pinggir bandar dalam usaha memulakan hidup baharu. Namun sejurus selepas memasuki rumah baharu itu, kejadian-kejadian aneh mula berlaku sehingga akhirnya anak bongsu keluarga itu, Madison diculik oleh makhluk ghaib yang menghuni almari pakaian. Dapatkah keluarga itu mengembalikan anak mereka yang diculik? Untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam.

Jalan Cerita

Secara keseluruhannya, jalan ceritanya lebih ringkas dari sangkaan kami. Jalan ceritanya tiada selok belok yang memerlukan penonton berfikir, sebaliknya jalan ceritanya linear dan boleh dijangkakan. Dari segi keseraman, filem ini mengikuti formula yang biasa kita lihat dalam kebanyakan filem seram moden. Ia lebih bergantung kepada elemen kejutan berbanding ketakutan yang sebenar.

Poltergeist-2015-trailer-image-1

Mungkin juga segala idea mengenai filem seram telahpun habis digunakan dalam filem Holywood dan kita sudah mula menampakkan pengulangan semula formula tersebut dalam filem baharu. Filem seram terakhir kami tonton yang mempunyai idea yang asli adalah filem “Cabin in the Woods” yang sememangnya mempunyai pengakhiran yang tidak dijangkakan.

Bercakap mengenai pengakhiran filem, dapat dirasakan semakin filem ini sampai ke penghujung semakin ia kelihatan kurang seram. Mungkin kerana pada pendapat kami, menjelang penghujung filem ini, ia telah bertukar dari filem seram kepada filem fantasi pula.

poltergeist-remake-cast

Lakonan

Lakonan pelakon dalam filem ini sememangnya tidak meyakinkan. Mungkin ini disebabkan penulisan skrip yang tidak begitu mantap. Sebagai contoh, apabila Madison diculik makhluk ghaib, ibu bapanya masih mampu kekal tenang dan tidak mahu melaporkan kepada polis kerana khuatir polis tidak akan mempercayai mereka. Agak pelik kerana biasanya seorang ibu akan panik dalam keadaan begitu, namun dalam filem ini ibunya tenang dan mampu menunggu ke hari berikutnya untuk berjumpa pakar paranormal.

Banyak lagi keganjilan dalam lakonan barisan pelakon filem ini. Bukan mahu mengatakan lakonan mereka tidak bagus, sebaliknya kami lebih merasakan lakonan mereka seperti berlakon, dan bukan menggambarkan reaksi manusia dalam keadaan sebenar.

PoltergeistLight

Positif vs Negetif

Positif

  • Berjaya dalam mengetengahkan latarbelakang rumah berhantu yang seram pada permulaan filem.
  • Memaparkan filem Poltergeist dalam konteks moden.

Negetif

  • Jalan cerita yang ringkas.
  • Lakonan kurang mantap.
  • Tidak berjaya membawa perasaan seram yang sama dialami ketika menonton filem asal.

Kesimpulan

Walaupun filem baharu Poltergeist ini berjaya memaparkan filem asal dalam konteks moden, ia tidak berjaya membawa perasan seram yang dialami semasa menonton filem asal. Disarankan mencari alternatif lain untuk menonton filem ini berbanding menonton di panggung wayang kerana mungkin filem ini kurang berbaloi. Namun, jika anda seorang penonton yang suka dikejutkan oleh adegan terkejut filem seram, panggung wayang tempat terbaik untuk menonton.

IMDB

The post Poltergeist [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/1CuSoXa

Minions [Review]

Karektor Minions telah menjadi kegilaan di kalangan kanak-kanak dan juga mereka yang berjiwa muda sejak tayangan filem animasi Despicable Me beberapa tahun dahulu. Kini sejarah kebangkitan Minions dibongkarkan dalam filem terbaharu Minions.

Official-Minions-Artwork-for-appearances

Minions [Review]

Dalam filem animasi Minions, Bob, Stewart dan Mike mengembara menjelajah dunia dalam usaha mencari seorang Bos jahat yang layak diikuti oleh kaum Minions. Kaum Minions yang ketandusan semangat akibat kematian bos-bos sebelumnya, memerlukan seorang bos baru untuk melengkapkan tujuan hidup mereka. Mampukah tiga sekawan itu menemui bos jahat yang mereka cari? Saksikan filem animasi ini di pawagam berhampiran.

maxresdefault

Jalan Cerita

Seperti mana-mana filem animasi 3D, jalan ceritanya ringkas, iaitu 3 sekawan mengembara mencari seorang bos yang layak diikuti. Namun kelebihan mana-mana filem animasi adalah pada pengolahannya. Filem ini dipenuhi dengan lawak jenaka tanpa henti yang bersahaja, membuatkan anda tidak kering gusi.

Namun, tidak seperti filem Despicable Me, filem Minions lebih ringkas dan tidak banyak “twist” dalam plot filemnya. Tetapi itu memang sudah dijangka kerana kekuatan filem ini pada watak-watak yang comel dan lawak jenaka bersahaja dan selamba.

BONUS : Satu kejutan buat rakyat Malaysia di penghujung filem ini, apabila anda menontonnya, pastikan anda menumpukan perhatian pada bahagian akhir filem ini, terutamanya apa yang dikatakan oleh Minions.

maxresdefault (1)

Positif vs Negetif

Positif

  • Lawak jenaka bersahaja oleh Minions yang comel.
  • Bonus untuk rakyat Malaysia di penghujung filem.

Negetif

  • Isi jalan cerita filem yang tidak banyak.
  • Tidak mempunyai elemen memberi inspirasi seperti filem Wall-E dan Cars.

Kesimpulan

Filem Minions tidaklah sehebat yang disangka, namun ia tetap menghiburkan dan mampu menceriakan hari penonton yang menontonnya. Ia lebih sesuai ditonton oleh kanak-kanak berbanding golongan “berjiwa muda”, walaupun golongan ini peminat tegar watak-watak tersebut. Jadi bagi mereka yang berkeluarga, ramai-ramai serbu panggung wayang untuk menonton filem ini.

The post Minions [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/1GY1u4l

Jurassic World [Review]

Sequel kepada siri filem Jurassic Park telah mula ditayangkan bulan lepas dan pada hujung minggu pertama ia ditayangkan, ia telah berjaya mengutip sebanyak USD500 juta. Namun adakah kutipan memberangsangkan ini ekoran nostalgia peminat siri filem Jurassic Park atau ia sememangnya sebuah filem yang hebat. Mari kita selami bersama.

jurassic-world-super-bowl-10

Jurassic World [Review]

Dalam filem ini, Jurassic World merupakan sebuah taman tema dinosaur baharu telah dibina menggantikan Jurassic Park yang telah menemui kegagalan. Setelah beroperasi selama beberapa tahun, ia mahu memperkenalkan dinosaur baharu bagi menarik kembali minat pengunjung mengunjungi taman tema tersebut.

Untuk itu, para saintisnya telah menggunakan teknologi pemetaan DNA untuk mencampuradukkan DNA dinosaur dengan haiwan sedia ada untuk menghasilkan seekor dinosaur yang dipanggil Indomunus Rex. Bagaimana penerimaan orang ramai kepada dinosaur baharu ini? Saksikan filem ini di pawagam berhamiran anda.

JWSuperBowlTrailer-Raptors1

Jalan Cerita

Dengan menggunakan tema DNA dan bioteknologi, ternyata penulis filem ini telah menyesuaikan jalan ceritanya mengikuti perkembangan teknologi terbaharu masa kini. Walaubagaimanapun fakta sains yang digunapakai dalam filem ini agak tidak realistik.

Isi kandungan filem ini juga berkembang dengan terlalu pantas dan isi pentingnya sedikit menyebabkan penonton tidak merasa kepuasan sepenuhnya dari filem ini. Perilaku dinosaur dalam filem ini juga sedikit tidak munasabah, terutamanya dalam babak-babak terakhir dan jika anda menonton filem ini anda tentu faham maksud kami.

Sungguhpun dengan kelemahan-kelemahan kecil itu, filem ini masih lagi mampu menghiburkan para penonton, cuma ia tidaklah mempunyai “Wow Factor” yang menjadikannya sebuah filem yang anda akan dikenang.

indominus rex

Lakonan

Lakonan Chris Pratt sebagai watak utama Owen yang merupakan seorang penjaga dinosaur di Jurassic World dilakonkan dengan baik dan menghiburkan. Tetapi lakonan watak Claire sebagai pengurus besar Jurassic World agak kurang meyakinkan, terutamanya perubahannya dari seorang korporat yang terlalu tegas dan terlalu mengikut peraturan kepada watak yang lasak agak terlampau pantas dan tidak begitu meyakinkan.

Produksi dan Kesan Khas

Filem ini menampilkan banyak babak yang memaparkan interaksi antara dinosaur dengan manusia dan krew produksi berjaya menghasilakn interaksi CGI antara kedua-dua makhluk ini dengan baik dan meyakinkan. Kami juga percaya sesetengah babak menggunapakai teknologi robotik untuk memaparkan dinosaur.

jurrasic

Positif vs Negetif

Positif

  • CGI pada kelas pertama.
  • Watak Owen lakonan Chris Pratt dimainkan dengan baik

Negetif

  • Jalan cerita kurang padat dan memuaskan.
  • Perwatakan dinosaur yang agak pelik dan tidak realistik

e9866c7d2fec6495534e6ab76e4eeeb6

Kesimpulan

Kami tidak mengatakan filem Jurassic World ini sebuah filem yang teruk, cuma ia tidak berjaya membawa keghairahan yang dikaitkan dengan filem Jurassic Park pertama lebih 20 tahun lalu. Kami rasakan keinginan pembikin filem ini untuk membuat sequal kepada filem ini sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada jalan ceritanya secara keseluruhan.

Kami juga rasakan kejayaan filem ini dari segi kutipan banyak disebabkan oleh peminat-peminat setia filem Jurassic Park terdahulu dan kehebatan siri filem terbahau Jurassic World hanya akan dapat dilihat melalui filem sequelnya nanti yang telahpun diumumkan.

The post Jurassic World [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/1J24SgQ

Tomorrowland [Review]

Daripada trailer yang diterbitkan tidak lama dahulu, Tomorrowland kelihatan seperti sebuah filem yang berpotensi menjadi sebuah filem yang epik dan sangat menarik. Namun adakah ia seperti yang diharapkan? Ikuti kupasan kami mengenai filem ini.

Tomorrowland

Tomorrowland [Review]

Tomorrowland mengisahkan seorang remaja perempuan bernama Casey Newton yang sentiasa mempunyai sikap ingin tahu dan optimistik dan seorang bekas saintis dan perekacipta bernama Frank Walker yang menjalani misi untuk merungkai rahsia sebuah alam yang digelar Tomorrowland yang wujud dalam dimensi berbeza dari dunia nyata. Tempat tersebut merupakan satu tempat di mana semua individu bijak dalam bidang masing-masing dikumpulkan untuk mencipta teknologi termaju tanpa halangan politik dan birokrasi. Apakah rahsia yang akan dirungkaikan mereka. Tontonilah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

tomorrowland

Jalan Cerita

Secara keseluruhannya jalan cerita filem ini mempunyai potensi untuk menjadi satu filem yang menarik dan unik. Ia bermatlamat untuk memberi inspirasi kepada golongan muda untuk lebih minat kepada sains dan teknologi demi membentuk masa depan yang lebih baik. Ideanya bagus dan gambaran mengenai Tomorrowland sangat mengujakan.

Namun plot filem ini berkembang perlahan dan terlalu banyak memfokuskan kepada bagaimana mereka mencari jalan masuk ke Tomorrowland berbanding memaparkan Tomorrowland itu sendiri. Apabila babak-babak menarik akhirnya tiba, ia tidaklah sehebat yang dijangkakan.

Mungkin mindset kami menjangkakan sebuah filem Sci-Fi sedangkan ia lebih kepada sebuah filem fantasi/adventure. Apa lagi yang boleh diharapkan daripada sebuah filem Disney. Walaubagaimanapun, bagi kanak-kanak dan remaja, filem ini tentu menghiburkan kerana terdapat banyak adegan-adegan lucu dan aksi-aksi yang tidak keterlaluan.

TomorrowlandFeat

Lakonan

Sebenarnya kami mengharapkan watak utama filem ini, Casey Newton memainkan peranan terutama dalam filem ini, namun, walaupun beliau watak utama, wataknya telah “diperkecilkan” peranannya menjadi “sidekick” kepada watak Frank Walker yang dilakonkan George Clooney. Tidak mengejutkan memandangkan George Clooney merupakan aktor yang lebih senior.

Positif vs Negetif

Positif

  • Idea yang menarik dan memberi inspirasi
  • Jalan cerita yang berputar-putar sekitar perkara sama, namun tidak memfokuskan banyak tentang Tomorrowland itu sendiri
  • Lakonan yang baik terutama aktor kanak-kanak yang memainkan watak Athena, robot dari Tomorrowland.
  • Babak-babak lucu dan aksi yang agak menghiburkan.

Negetif

  • Watak-watak jahat yang tidak prominen dan hanyalah watak tambahan.
  • Plot berkembang dengan perlahan dan tidak banyak isi.

tomorrowland2

Kesimpulan

Filem Tomorrowland sebenarnya disasarkan kepada kanak-kanak dan remaja, namun sebagai orang dewasa, tidak salah untuk menonton filem ini dan kami pasti anda turut akan terhibur. Namun, kami juga pasti anda akan melupakan filem ini dalam jangka masa yang pendek memandangkan ia bukanlah sebuah filem epik yang akan dikenang di kalangan penggemar filem. Sesuai untuk anda yang ingin membawa keluarga menonton wayang memandangkan ia sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

The post Tomorrowland [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/1cx1RWU