Search This Blog

Filem terbaik sepanjang zaman




Filem tahun 1996 (mase penulis baru di tingkatan 1), lebih kurang sezaman dengan filem Legends of The Fall (1994).

Mengisahkan seorang lelaki bernama Jerry Maguire yang juga merupakan seorang agen sukan yang mencari bakat-bakat baru dalam arena sukan untuk diketengahkan, dan juga diberi latihan khusus oleh jurulatih-jurulatih yang berminat, untuk diserapkan ke dalam sesebuah pasukan atau perseorangan.

Syarikat yang mencari atlit ini dipanggil sebagai SMI (Sports Management International).

Mara – Kisah di Sebalik Sleep Paralysis Atau Kena Hempap

Pernahkah anda mengalami pengalaman terkena hempap ketika tidur di mana anda tidak boleh bergerak atau bercakap. Istilah saintifiknya adalah Sleep Paralysis. Filem Mara merupakan sebuah filem seram yang dibina di atas konsep tersebut. Kami sempat menontonnya dan di sini kami ingin berkongsi pendapat kami mengenainya.

Mara – Kisah di Sebalik Sleep Paralysis Atau Kena Hempap

Mara mengisahkan seorang ahli psikologi benama Kate yang ditugaskan membantu polis untuk menyiasat kejadian pembunuhan misteri sepasang suami isteri di mana yang dituduh membunuh, si isteri, mengaku tidak membunuh suaminya, sebaliknya mengatakan suaminya dibunuh makhluk ghaib yang dinamakan Mara.

Semakin beliau menyiasat, semakin beliau mula terlibat secara mendalam dalam kes-kes pembunuhan tersebut sehingga beliau sendiri dikatakan dicop untuk dibunuh oleh Mara sendiri. Adakah ini benar, dan bagaimana beliau menyelamatkan diri? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Filem Mara bukanlah satu filem yang ditunggu ramai dan dari awal lagi kami boleh mengagak kenapa. Sejak bermulanya filem ini, ia menggunakan teknik terkejut sebagai elemen seram dalam filem ini. Tidak dapat dinafikan isu sleep paralysis juga seram, namun kebanyakan sumber keseramannya adalah element terkejut yang banyak digunapakai pembikinnya. Sungguhpun demikian, babak seramnya memang agak seram.

Dari segi watak, watak Kate agak menghampakan kerana beliau dilihat tidak mempunyai perwatakan seorang ahli psikologi sebenar. Tiada banyak bercakap menggunakan teori-teori psikologi dan tidak begitu profesional sebagai seorang psikologi. Namun itu boleh dimaafkan memandangkan dalam filem ini beliau ialah seorang yang baru bertugas dalam penyiasatan seperti itu.

Watak paling penting dalam filem seram adalah hantunya. Dari segi mekap dan props, hantu Mara yang dipaparkan dalam filem ini bolehlah diterima dan tidaklah nampak murahan atau cacat. Namun, jalan cerita di sebalik Mara agak mudah dan straight forward. Tidak begitu banyak misteri di sebaliknya. Ia seperti mana-mana filem seram tipikal di mana protagonisnya perlu mencari bagaimana mengelak kematian di tangan hantu. Plot filem sebegini mudah diagak.

Walaupun terdapat sedikit putaran plot di penghujungnya, ia tidak cukup untuk menyelamatkan keseluruhan filem ini yang kurang menakjubkan.

Positif vs Negatif

Positif

  • mekap untuk hantu yang dilakukan dengan baik
  • Agak seram juga

Negatif

  • Jalan cerita yang mudah dan boleh dijangka
  • Banyak menggunakan taktik terkejut

Kesimpulan

Kesimpulannya, kami rasakan filem ini hanyalah salah satu filem untuk mengisi ruang kosong di antara tayangan filem sebelum terbitnya filem-filem gempak yang ditunggu ramai. Ia juga mungkin filem “periuk nasi” pelakon di mana pelakonnya mengambil kontrak berlakon sementara menunggu tawaran lakonan dalam filem-filem yang lebih besar. Apa pun, tidak rugi jika anda tidak menonton filem ini, namun jika anda sememangnya peminat tegar filem seram, filem ini masih boleh memenuhi kehendak filem seram anda.

Penilaian: 5.5/10

IMDB

The post Mara – Kisah di Sebalik Sleep Paralysis Atau Kena Hempap appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2MYI6ud

Monstrum – Filem Raksasa Zaman Silam dari Korea

Filem raksasa merupakan satu genre yang semakin lama, semakin dilupakan. Jika bukan kerana filem-filem baharu Godzilla dan Rampage, filem genre sebegini mungkin akan berkubur. Namun filem Korea Selatan Monstrum menghidupkan lagi genre filem raksasa. Kami sempat menontonnya baru-baru ini di pawagam untuk penilaian kami.

Monstrum – Filem Raksasa Zaman Silam dari Korea

Monstrum mengisahkan raja Jung Jong di zaman Joseon di mana perdana menterinya telah menggulingkan raja sebelumnya demi mengangkatnya sebagai raja negara tersebut. Cara beliau menggulingkan raja sebelumnya ialah dengan menyebarkan khabar angin bahawa terdapat satu raksasa dipanggil Monstrum yang bukan sahaja memakan manusia, malah menyebarkan wabak. Perdana menteri telah membunuh penduduk beramai-ramai dengan alasan mereka dijangkiti wabak Monstrum. Selain itu pihak tentera telah diarahkan membakar perkampungan penduduk dengan alasan yang sama. Ini menyebabkan rakyat bangkit dan menggulingkan raja.

General Yoon Gyeom, seorang yang setia kepada raja, tetapi mengambil keputusan memulaukan diri setelah menyelamatkan seorang budak perempuan dari kejadian pembunuhan beramai-ramai itu. 16 tahun kemudian, kejadian kematian yang aneh telah berlaku, sekaligus menghidupkan semula khabar angin mengenai kemunculan semula Monstrum.

Apakah monstrum benar-benar wujud, atau hanya khabar angin untuk mencucuk rakyat supaya menggulingkan raja. Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Admin gemar menonton filem epik zaman silam samada dari Korea, mahupun China. Namun dari awal lagi, ternyata filem ini bukan sebuah filem epik. Sebaliknya ia merupakan sebuah filem aksi Korea berskala sederhana.

Filem ini membuka kisahnya dengan tragedi berdarah pembunuhan beramai-ramai dan harus diingat terdapat banyak babak-babak ganas dan berdarah sepanjang filem ini, jadi mungkin kanak-kanak di bawah umur tidak sesuai untuk menonton filem ini. Namun skill mekap dan prop dalam filem ini tidaklah sehandal Holywood kerana mayat-mayat yang koyak rabak tidaklah kelihatan realistik seperti dalam filem Steven Spielberg, tetapi cukuplah di tahap filem-filem aksi terkenal Asia. Perkara yang sama juga boleh dikatakan dengan kualiti CGI yang digunapakai dalam filem ini.

Dari segi jalan ceritanya, ia mudah difahami dan putaran plotnya tidaklah terlalu berat membolehkan penonton memahami filem ini tanpa perlu memerah otak memikirkan plot filem. Jalan ceritanya bagi kami biasa sahaja, tidak teruk, namun tidak juga terlalu hebat. Babak aksi dalam filem ini pada pendapat kami OK dengan menampilkan aksi berlawan yang menarik, tetapi tiada apa yang istimewa. Tiada lawak jenaka yang jelas dalam filem ini mahupun plot cinta yang membazir masa.

Kesudahan filem ini juga agak biasa sahaja, walaupun putaran plot terakhir terletak di penghujung filem ini. Tetapi seperti yang dikatakan pada awal tadi, tiada apa yang istimewa.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang mudah difahami dan menarik
  • Babak aksi menarik
  • Pelakon sokongan comel

Negatif

  • Props dan CGI tidaklah begitu hebat
  • tiada apa yang istimewa
  • Banyak babak ganas

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem ini merupakan satu filem yang biasa sahaja. Walaupun tidaklah teruk, namun tiada juga perkara yang istimewa mengenai filem ini. Jika anda tiada filem lain untuk ditonton, filem ini mungkin boleh mengisi masa lapang anda. Jika anda menunggu-nunggu filem lain ditayangkan di pawagam, tontonlah filem itu dahulu sebelum menontnon filem ini.

Penilaian: 6.5/10

IMDB

 

The post Monstrum – Filem Raksasa Zaman Silam dari Korea appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2xFvlzV

Rise Ini Kalilah – Mengimbau Kembali Pilihanraya Umum 14

Politik sememangnya satu topik yang sensitif dan kadang-kala boleh membawa kepada pergaduhan. Kerana itulah filem Rise Ini Kalilah adalah sebuah filem yang agak sukar untuk diulas tanpa menyentuh isu politik. Sungguhpun demikian, kami akan cuba mengulas lebih dari perspektif rakyat secara objektif. Agak mengagumkan kerana daripada kandungan filem ini jelas sekali filem ini dibikin atau menjalani penggambaran sekurang-kurangnya semasa kempen pilihanraya atau selepas penubuhan kerajaan baru. Ini bermakna filem ini hanya mengambil masa beberapa bulan untuk dirakam, diedit dan diterbitkan. Menjadikannya filem wayang yang dibikin paling pantas dalam pengetahuan kami. Tapi adakah ia sebuah filem yang baik? Ini ulasan kami.

Rise Ini Kalilah

Rise Ini Kalilah – Mengimbau Kembali Pilihanraya Umum 14

Filem Rise Ini Kalilah, mengikuti perjalanan beberapa orang watak, mewakili segenap lapisan masyarakat Malaysia sepanjang musim pilihanraya yang lepas. Fira Filzah seorang pelajar Malaysia di UK yang serba salah untuk pulang ke tanah air untuk menghadiri perkahwinan kakaknya kerana akan kehilangan peluang kerja. Remy Ishak seorang anggota polis yang bergelut dengan amalan korupsi di sekelilingnya. Sangeeta Kishnasamy  pula seorang guru yang ingin menyumbang tenaga dengan menjadi seorang PACA, tetapi menerima tentangan bapanya, seorang pegawai pilihanraya di pusat mengundi di sekolahnya. Jack Tan pula bekerja di Singapura, tetapi mempunyai masalah membiasakan diri dengan kehidupan di sana. Shashi Tharan seorang pemilik perniagaan yang menguruskan pekerja asing menghadapi dilema kerana terpaksa menghadapi kerenah orang-orang di sebalik tabir yang menggugat perniagaannya. manakala Mark O’Dea seorang wartawan asing yang membuat liputan mengenai pilihanraya Malaysia.

Filem ini membawa penonton untuk mengalami semula pengalaman musim pilihanraya melalui kacamata unik individu berkenaan yang dahagakan perubahan. Tontonlah filem ini untuk mengalami semula meneriahan pilihanraya umum ke 14.

Review

Bercakap mengenai filem yang berdasarkan atau diinspirasikan kisah benar, bagi saya, terdapat dua jenis mod penceritaan. Pertama mod idealis dan kedua mod realis. Jika anda menonton filem One Two Jaga, itu mod penceritaan yang realis, di mana penceritaannya tiada tapis. Jika perkara itu buruk ia akan memaparkan seadanya. Namun, filem Rise Ini Kalilah adalah sebuah filem yang idealis dan admin pula seorang yang realis. Oleh sebab itu bagi admin kebanyakan babak dalam filem ini tampak dibuat-buat dan seolah untuk menyokong agenda sebelah pihak.

Sebagai contoh, jika ada babak mengenai rasuah, ia dipaparkan dengan terlalu “obvious” sehingga kita sebagai penonton meragukan kesahihan perkara tersebut. Ia seperti video anti rasuah di saluran RTM, jika anda pernah lihat. Berbeza dengan babak rasuah dalam One Two Jaga yang menggunakan istilah-istilah atau bahasa tertentu untuk mengaburi mata pihak tertentu. Dengan kata lain pembikin One Two Jaga menjalankan lebih kajian latarbelakang berbanding pembikin Rise Ini Kalilah. Tambahan pula, dalam filem Rise, segala identiti anggota polis telah diubah untuk tidak mendatangkan masalah dengan pihak polis di kemudian hari. Contohnya, logo polis di kereta ronda dan uniform polis semuanya telah digantikan dengan logo rekaan sendiri. Perkataan polis pada uniform juga dikaburkan, malah perkataan polis langsung tidak disebut dalam dialognya. Begitu juga dengan parti dan lambang parti yang sebenar tidak digunakan dan diganti dengan logo yang seakan-akan parti yang sebenar.

Walaubagaimanapun, filem ini bukan sahaja mengenai salah laku pihak-pihak tertentu dalam masyarakat. Ia juga mengenai semangat rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat yang bekerjasama  dalam membawa perubahan. Dari segi itu, ia mempunyai sedikit kelebihan, terutamanya dalam jalan cerita Mira Filzah yang membawa pulang undi pos pelajar dan rakyat Malaysia dari UK. Anda tentu pernah mendengar kisahnya di media sosial.

Mengenai skrip dan lakonannya pula, skrip yang digunakan mengandungi dialog yang agak pendek menjadikan babak-babak yang bertukar-tukar antara kisah setiap wataknya kelihatan sedikit tergesa-gesa. Namun penggunaan syot kamera yang berkualiti berjaya menampung kelemahan ini dan menjadikan filem ini tampak profesional. Bolehlah, untuk sebuah filem yang kami anggarkan dibikin dalam masa lebih kurang 3 bulan.

Secara keseluruhannya, filem ini mempunyai vibe yang lebih kurang sama dengan filem Ola Bola, namun kerana masa pembikinannya yang pendek, tidak memberi impak sebaik Ola Bola dari segi menaikkan semangat penonton.

Positif vs Negatif

Positif

  • Untuk sebuah filem dengan masa pembikinan yang pendek, ia sebuah filem yang baik.
  • Penggunaan syot kamera yang baik
  • Adakah ia mengimbau kembali perubahan 9 Mei? Ya.

Negatif

  • Idelistik
  • Script yang “unpolished” atau tidak diperhalusi
  • Perubahan babak antara watak agak tergesa-gesa

Kesimpulan

Secara jujurnya, jika anda penyokong parti yang kalah dalam pilihanraya umum yang lepas, anda sudah tentu tidak mahu menonton filem ini. Terutamanya kerana ia menggunakan suntingan video dari hari-hari pilihan raya sebenar yang menggambarkan kemenangan PH. Tetapi pada pendapat kami, perubahan persepsi rakyat tentang kerajaan baharu kebelakangan ini akan memberi impak kepada jumlah penonton yang ingin menonton filem ini di pawagam. Kami menonton filem ini dengan fikiran terbuka sebagai rakyat Malaysia dan bukan penyokong mana-mana parti, membolehkan kami memberi pandangan objektif dan kami berpendapat kejayaan filem ini di pawagam akan bergantung kepada pandangan politik penontonnya. Malah kami rasakan anda boleh mengukur popularti kerajaan sekarang dari jumlah kutipan filem ini di pawagam.

Penilaian: 6/10

Laman web Rise Inikalilah

The post Rise Ini Kalilah – Mengimbau Kembali Pilihanraya Umum 14 appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2Nnwndy

Final Score – Sebuah Filem Aksi Piawai

Walaupun terdapat banyak filem berprofil tinggi mula ditayangkan kebelakangan ini, sekali-sekala tidak salah untuk menonton  filem-filem tidak ternama serta tidak banyak dihebohkan. Filem Final Score lakonan Dave Bautista merupakan salah satu filem sebegitu. Ia akan ditayangkan di pawagam mulai minggu hadapan, namun kami berkesempatan menontonnya.

Final Score – Sebuah Filem Aksi Piawai

Final Score mengisahkan seorang pegawai tentera Amerika, Michael Knox yang kehilangan anggota pasukan paling rapat dengannya. Disebabkan beliau juga rapat dengan keluarganya, beliau akan melawat mereka sekali sekala. Kali ini beliau melawat keluarganya dengan niat untuk membawa anak rakannya itu yang bernama Danni untuk menonton perlawanan bolasepak antara West Ham United dengan Dynamo Moscow.

Pada masa yang sama sekumpulan pengganas para tentera menawan stadium tersebut dengan niat untuk mencari ketua politik mereka untuk memulakan semula revolusi di negara asal mereka. Semasa mencari Danni yang telah menghilangkan diri, Knox telah terserempak dengan salah seorang pengganas itu. Bermulalah usaha untuk menyelamatkan kesemua penonton di stadium itu. Dapatkan Knox menyelamatkan semua orang awam itu? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Dari awal lagi kami telah mengetahui filem ini adalah salah satu dari banyak filem yang dibikin hanya untuk mengisi ruang kosong di antara filem-filem berprofil tinggi. Namun kami hanya mahu mengetahui adakah berbaloi menonton filem ini di pawagam.

Pandangan pertama filem ini OK, tidak banyak perkara yang menjengkelkan. Namun, ternyata pembinaan watak memerlukan lebih usaha lagi kerana kebanyakan wataknya tidak mempunyai karakter mendalam. Sebagai contoh watak ketua politik pengganas, Dimitri lakonan Pierce Brosnan, tidak diperkenalkan secara mendalam, sebaliknya hanya muncul di pertengahan hingga ke penghujung filem. Watak Faisal, iaitu watak “comic relief” atau watak badut dalam filem ini juga nampak terlalu beriya-iya untuk menjadi kelakar, tetapi tidak berapa menjadi. Tetapi fikir-fikir balik, ini hanyalah filem “action flick“, jadi ia tidak perlu mempunyai karakter yang kuat. Ia hanya memerlukan aksi-aksi mendebarkan.

Bercakap mengenai aksi-aksi, filem ini menampilkan aksi lagak ngeri dan berlawan yang baik, terutamanya babak lawannya yang mendebarkan, agak realistik, ganas serta durasinya tidak terlalu panjang atau terlalu pendek. Maklumlah, beliau bekas ahli gusti WWE, mana mungkin babak berlawannya tidak mendebarkan. Props dan produksi filem ini juga tidaklah nampak begitu “bajet” walaupun andaiannya, ia sebuah filem aksi bajet rendah.

Secara keseluruhannya, jalan ceritanya ringkas dan tidak terlalu berat. Anda boleh menontonnya tanpa perlu stres pada jalan ceritanya kerana filem ini lebih mengenai aksi berbanding jalan cerita.

 

Positif vs Negatif

Positif

  • Sebuah filem aksi yang chill
  • untuk sebuah filem aksi tidak berbajet besar, ia masih nampak classy
  • aksi lagak ngeri dan berlawan yang mendebarkan

Negatif

  • Jalan cerita yang ringkas
  • lakonan bukanlah yang terbaik
  • karakter-karater yang agak lemah

Final Score

Kesimpulan

Secara umumnya filem Final Score ini adalah salah satu filem yang anda akan tonton sekiranya anda telahpun tonton semua filem lain di jadual pawagam yang anda langgani. Bukan kami kata ia tidak bagus, tetapi filem ini bagus sekiranya ditonton sekadar untuk melepaskan stres atau memenuhi masa terluang di mana anda tidak meletakkan jangkaan yang tinggi kepada filem yang ditonton. Ia bolehlah dikatakan sebuah filem aksi di tahap piawai. Seolah ia dibikin menggunakan template piawai filem aksi Holywood.

Penilaian: 6.5/10

IMDB

The post Final Score – Sebuah Filem Aksi Piawai appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2p8bAMC

Johnny English Strikes Again – Adakah Lawak Mr Bean Sudah Basi?

Dalam siri filem Johnny English, filem yang paling admin gemari dan rasakan paling lucu adalah filem pertama. Filem kedua, Johnny English Reborn lucu, tetapi tidak setanding filem pertama. Kini filem ketiga dalam siri filem ini, Johnny English Strikes Again, telah mula ditayangkan dan kami sempat menontonnya di pawagam. Inilah pendapat kami mengenainya.

Johnny English Strikes Again – Adakah Lawak Mr Bean Sudah Basi?

Dalam filem Johnny English Strikes Again, agen rahsia Johnny English kini bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah berasrama penuh. Tidak mengejutkan beliau juga mengajar anak muridnya teknik-teknik pengintip yang berjaya, di samping mata pelajaran sains.

Sementara itu di agensi penyiasatan Britan, MI7, seorang penggodam handalan telah berjaya menggodam komputer MI7 dan mendedahkan identiti kesemua agen rahsia MI7. Oleh kerana tiada lagi agen rahsia yang boleh bertugas, Johnny English diambil bertugas semula untuk menyiasat dan menangkap dalang di sebalik penggodaman tersebut. Masalahnya, Johnny English tergolong dalam golongan “dinosaur” yang tidak mahir dalam perkara berteknologi tinggi seperti ini. Dapatkah beliau menangkap dalang itu? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Perkara paling prominen mengenai filem ini adalah temanya iaitu tema teknologi maklumat dan golongan tua yang kurang “tech savvy” vs golongan muda yang “tech savvy“. Ini sememangnya bukan satu tema yang baharu memandangkan banyak filem telah menggunakan tema sedemikian. Tambahan pula filem ini mengetengahkan penjenayah data dan analitik ala Google dan Apple. Dari segi temanya itu kami bersetuju, ia suatu yang relevan dalam masa sekarang dan ia juga satu topik yang harus diketengahkan.

Namun, pelaksanaannya pada pendapat kami, kurang kick. Mungkin kami jenis yang telah terlalu biasa dengan lawak jenaka dan gaya Mr Bean, maka kami berasa kebanyakan lawak jenaka dalam filem ini boleh dijangka. Bukan kami kata lawaknya tidak kelakar, namun, kami telah terbiasa dengan gaya lawak Rowan Atkinson ini sehingga kami boleh meneka lawak yang akan dilakukannya. Tambahan pula, dalam panggung wayang, hanya tiga, empat kali sahaja kami mendengar penonton gelak ketawa dengan bersungguh. Mungkin kami dah terlalu tua untuk lawak sebegini, tapi entahlah.

Pengenalan karektor-karektornya juga kurang mendalam, hasilnya karakter watak-wataknya kurang menonjol dan memberi impak. Sebagai contoh, latar belakang watak perisik Russia, Ophilea, tidak diperkenalkan secara mendalam menyebabkan penonton tidak dapat menghayati sepenuhnya watak berkenaan dan hanya melihatnya sebagai watak tambahan yang berlakon di latar belakang. Watak perdana menteri juga sedikit pelik. Jika sebelum ini watak ketua kepada Johnny English biasanya serious dan melihat permasalahan yang berlaku secara serious, watak perdana menteri kali ini seolah-olah pelawak dan tidak serious.

Begitu juga dengan jalan ceritanya, walaupun ia bukanlah filem perisik seperti James Bond, namun kami masih mengharapkan satu jalan cerita yang menarik. Malangnya, filem ini tidak menyajikan satu jalan cerita yang lebih dari biasa. Jalan ceritanya OK sahaja, walaupun terdapat satu dua putaran plot yang lucu. Durasi filem ini juga pendek iaitu 1 jam setengah dan ia memang terasa pendek ketika ditonton.

Positif vs Negatif

Positif

  • Secara keseluruhan suatu filem yang menghiburkan
  • Tema teknologi maklumat yang relevan

Negatif

  • Jalan cerita yang agak ringkas
  • Lawak jenaka yang boleh dijangka
  • Karakter watak-watak yang tidak kuat

Johnny English Strikes Again

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, filem Johnny English Strikes Again adalah sebuah filem yang OK. Cuma mungkin secara peribadi, kami sudah masak dengan lawak jenaka gaya Rowan Atkinson. Jika anda seorang yang masih minat dengan gaya lawak jenakanya, anda tentu akan tidak kering gusi bergelak ketawa menonton filem ini.

Penilaian – 6.5/10

IMDB

The post Johnny English Strikes Again – Adakah Lawak Mr Bean Sudah Basi? appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2MwdwHP

The Predator : Francais Klasik diberi Nafas Baharu

Filem-filem The Predator sememangnya antara siri filem paling popular ketika admin membesar dalam tahun 90an. Ia menerima banyak sequel dalam era 2000an seperti filem Alien vs Predator 1 & 2 dan The Predators, namun tiada yang mampu menyaingi yang asli. Sequel kali ini diberi nama The Predator dan walaupun trailernya tidaklah begitu hype, namun kami teringin mengetahui adakah filem ini layak menjadi sebuah sequel yang baik.

The Predator : Francais Klasik diberi Nafas Baharu

The Predator mengisahkan Quinn McKenna, seorang anggota tentera khas bersama pasukannya yang bertugas di perbatasan di Mexico. Semasa mereka menjalankan misi, kebetulan satu kapal angkasa yang membawa seorang makhluk predator yang melarikan diri dari sekumpulan predator yang lain telah terhempas berhampiran tempat mereka menjalankan misi.

McKenna yang menyiasat tempat kejadian menemui kapal angkasa yang musnah itu dan juga beberapa peralatan milik predator. Beliau sempat mengambil topi keledar dan alat yang dipasang tangan predator sebelum diserang predator tersebut dan kehilangan seluruh anggota pasukannya. Selepas melarikan diri beliau sempat mengepos peralatan tersebut kepada rumahnya sebelum beliau ditangkap pasukan “Project Stargazing” iaitu badan rahsia yang menyiasat makhluk asing predator sejak 1980 an lagi.

Perkara menjadi lebih rumit apabila anaknya bermain dengan peralatan predator yang menyebabkan musuh predator yang menjadi pelarian itu berjaya mengesannya dan datang ke bumi. Apakah yang akan terjadi? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Jika anda peminat filem klasik Predator, perkara pertama yang anda akan sedari setelah menonton filem ini adalah ia mempunyai vibe yang lebih ceria. Jika filem Predator yang asal mempunyai tema aksi seram, filem kali ini mempunyai tema aksi komedi. Lebih kurang seperti tema filem Marvel, cuma filem The Predator ini mempunyai unsur seram dan keganasan.

Sebaik sahaja McKenna dimasukkan ke unit rawatan psikatri bersama sekumpulan bekas tentera yang mempunyai masalah psikologi, kami sudah tahu filem ini pasti lucu. Walaupun peminat tegar Predator mungkin akan berasa ini telah menghakis identiti filem Predator, namun kami berasa ia satu langkah yang perlu untuk menarik minat generasi baru peminat filem ini.

Jalan ceritanya tidaklah sempurna dan memandangkan ia filem yang lebih santai berbanding dahulu, ia tidak pergi secara mendalam ke dalam benda-benda teknikal. Namun, apa yang menarik, ia mendedahkan lebih banyak mengenai struktur sosial makhluk predator dan mengapa sebenarnya mereka memburu makhluk-makhluk di seluruh cakerawala. Sungguhpun demikian, kami berasa pendedahan ini merupakam satu cara untuk memicu hala tuju francais filem ini ke satu arah yang baharu berbanding sebelum ini. Satu arah yang mempunyai lebih banyak kemungkinan. Dengan kata lain, para pembikin filem ini mahu mewujudkan satu “predator universe” yang lebih menarik.

Dari segi mutu lakonan watak-wataknya, ianya bukanlah yang terbaik, tetapi cukuplah untuk menjadikan filem ini sebuah filem yang menghiburkan dan lucu.

Apa pun, babak terpenting adalah babak terakhir atau penutup dan ia akan membuatkan anda teruja untuk menonton sekuel seterusnya. Pastikan anda menumpukan perhatian kepada jalan cerita filem ini memahami konsep yang hendak disampaikan sebelum “move on” ke sequel seterusnya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Satu nafas baharu kepada siri filem klasik Predator
  • Penuh komedi yang menghiburkan
  • Membuka banyak kemungkinan untuk sequel seterusnya

Negatif

  • Mutu lakonan yang boleh dipertikaikan
  • Menyimpang dari mood dan feel francais Predator asal.

Predator

Kesimpulan

Jika anda pengikut setia siri filem Predator, filem ini sangat penting untuk ditonton kerana ia menentukan hala tuju jalan cerita francais berkenaan selepas ini. Bagi sesetengah peminat tegar, ia mungkin mengecewakan kerana menyimpang dari tema asal filem Predator, namun perubahan ini kami rasakan perlu untuk mengelakan francais ini menjadi “basi” dan tersekat di takuk yang sama. Tontonlah ia bersama rakan-rakan dan pendapat anda mengenai filem ini mungkin akan menentukan samada anda mahu terus mengikut siri filem ini atau tidak.

the predator

Penilaian: 7/10

IMDB

The post The Predator : Francais Klasik diberi Nafas Baharu appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2QvnXyB

3 muzik video terbaru pilihan Peminat Filem



Thunderclouds - Sia, Diplo, Labrinth. Special performance- Maddie Ziegler

Budak perempuan si Maddie ni dah besar panjang. Dulu dalam muzik video Sia-Chandelier, kecik lagi.



Electricity - Silk City and Dua Lipa

Tak perlu diperkenalkan lagi penyanyi yang berasal dari Albania ini, Dua Lipa. Terkenal dengan lagu seperti New Rules, Be the One, Lost in your light dan banyak lagi. Memang dah banyak lagu dia setakat ni, Taylor Swift pun kalah.




Solo- Demi Lovato dan Clean Bandit

Dah banyak collabs Clean Bandit ni buat. Salah satunya dengan Sean Paul dan Anne Marie (Rockabye). Dua Lipa tak nak ke collabs dengan Clean Bandit ni pulak? dengar kata dia nak collabs dengan girls band dari Korea. 

The Nun – Permulaan Dunia The Conjouring

Siri filem dunia The Conjouring yang rata-rata diarah atau ditulis oleh pengarah dari Malaysia, James Wan sering diangkat sebagai filem seram yang benar-benar seram oleh penontonnya, namun setelah menonton beberapa filem sejak filem The Conjouring asal, kami tidak berasa ia begitu seram seperti diwar-warkan. Filem The Nun adalah sebuah lagi filem seram dalam dunia The Conjouring yang menyingkap asal usul salah satu watak puaka dari filem The Conjouring 2, iaitu Valek.

The Nun – Permulaan Dunia The Conjouring

Filem The Nun mengisahkan mengenai biara Santa Carta di Romania yang mana rahib-rahibnya ditugaskan untuk mempertahankan dunia daripada dimasuki satu kuasa berpuaka yang dinamakan Valek.

Dalam filem Father Burke dan Sister Irene telah ditugaskan oleh The Vatican untuk menyiasat kejadian bunuh diri oleh seorang rahib di biara tersebut. Sepertimana diketahui umum, dalam agama katolik, bunuh diri merupakan satu perbuatan keji dan terkutuk.

Mereka mendapat bantuan daripada pemuda yang bernama Frenchie yang merupakan orang pertama yang menmui mayat rahib yang membunuh diri. Apa yang mereka sangkakan hanyalah satu siasatan, rupa-rupanya akan menguji kekuatan dan integriti mereka sebagai ahli gereja katolik. Untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam.

Review

Secara ringkasnya, pendapat kami mengenai filem-filem dunia The Conjuring tidak berubah setelah menonton The Nun. Ia bukanlah filem seram yang paling menyeramkan. Tetapi ia tetap mempunyai kelebihannya sendiri. Sebagai contoh, ia tidak banyak menggunakan taktik terkejut untuk menimbulkan keseraman dalam penonton sebaliknya ia menggunakan misteri, keanihan dan putaran plot bagi menimbulkan perasaan seram. Namun bagi admin yang agak lali dengan filem seram ini, tidak berasa ia terlalu seram. Namun, ada segelinitir penonton dalam panggung kami tidak menyorokkan perasaan seram mereka.

Jalan cerita filem ini juga agak menarik. Pada awalnya filem ini nampak biasa sahaja, namun putaran plot di bahagian-bahagian terakhir akan membuatkan para penonton tertanya-tanya mengenai apa yang telah berlaku pada 2/3 filem sebelumnya. Dengan kata lain, pada awalnya penonton menyangka ceritanya begini, namun pada akhirnya sebenarnya apa yang mereka sangka memang bukan yang sebenarnya. Walaubagaimanapun, sesiapa yang telah menonton The Conjouring 2, pastinya tahu tentang kesudahan filem The Nun, cuma akan tertanya-tanya bagaimana ia akan berakhir.

Spoiler: Ia berakhir sebagaimana filem The Conjouring bermula

Dari segi lakonan, para pelakonnya memainkan watak masing-masing dengan baik, namun mungkin watak Frenchie sedikit tidak begitu sesuai. Watak beliau lebih mirip kepada seorang “adventurer” seperti Indiana Jones, tetapi tanpa pengalaman. Watak ini sedikit lari dari konsep dunia The Conjouring yang diilhamkan kisah seram sebenar. Tetapi, kalau difikirkan semula, The Conjouring 2 pun sudah ada babak yang mengarut seperti babak di mana Valek memusnahkan separuh dari rumah mangsa.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita dan putaran plot yang agak menarik
  • Keseimbangan antara keseraman dan jalan cerita menarik
  • Wanita dalam filem ini kebanyakannya menutup aurat

Negatif

  •  Babak-babak terakhir sudah menjadi seperti filem The Mummy. Mungkin itu menyumbang kepada kekurangan rasa seram filem ini.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, filem The Nun tidaklah sehebat yang diwar-warkan. Namun ia juga tidaklah seteruk mana. Kami tidak mempunyai kritikan terlalu serious mengenai filem tetapi pada masa yang sama, kami tidak merasakan filem ini sebuah filem yang akan dipandang begitu serious. Kami rasa, penonton akan hanya menonton filem ini sekiranya mereka mengikuti perkembangan dalam dunia The Conjouring dan Annabelle. Jika anda tergolong dalam kategori ini, anda akan berpuas hati dengan filem kali ini, tetapi tidaklah begitu teruja. Jika anda bukan seorang pengikut filem-filem berkenaan, tidak rugi jika anda tidak menonton filem ini.

Penilaian – 6/10

IMDB

The post The Nun – Permulaan Dunia The Conjouring appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2MWSerY

One Two Jaga : Filem Berbahasa Melayu Paling Berani Setakat Ini

Bila bercakap tentang filem Melayu, biasanya kita akan terbayang filem komedi, filem seram atau filem animasi seperti Upin dan Ipin. Namun, filem One Two Jaga ini adalah filem berbahasa Melayu yang berani membongkar topik yang memang tidak pernah sesiapa berani bongkar, samada kerana takut tidak mendapat sambutan dari penonton ataupun takut menerima tindakan dari kerajaan.

One Two Jaga : Filem Berbahasa Melayu Paling Berani Setakat Ini

Filem One Two Jaga adalah sebuah filem yang diilhamkan kisah benar di sebalik kegiatan penyeludupan pekerja haram dan isu-isu berkaitan dengannya. Ia mengikuti beberapa watak dalam “ekosistem” pekerja asing seperti polis, sindiekt penyeludupan dan juga pekerja asing itu sendiri.

Ia mengisahkan peranan setiap pemain dalam kegiatan penyeludupan pekerja asing dan bagaimana mereka melakukannya. Dengan topik sebegini pastinya para penonton akan terkejut (mungkin juga tidak) dengan pendedahan yang dibawa film ini. Sekurang-kurangnya ia akan membuka mata rakyat Malaysia tentang kegiatan haram ini dan isu-isu yang menyumbang kepada korupsi di kalangan anggota pihak berwajib.

Review

Pertama sekali ingin kami katakan bahawa kami tidak menyangka filem sebegini provokatif akan dibenarkan ditayangkan di pawagam. Ia menyasarkan dengan jelas anggota polis, ahli politik dan rakyat Malaysia yang terlibat secara langsung dengan kegiatan haram ini. Filem ini tidak teragak-agak membongkarkan setiap pemain di setiap peringkat dan mendedahkan modus operandi mereka.

Kami telah menonton trailer filem ini beberapa hari yang lalu, tetapi rupa-rupanya trailer tersebut dikeluarkan pada tahun 2014. Dalam trailer itu juga, pelakon-pelakonnya serta latarbelakang filem ini berbeza sama sekali. Ternyata filem ini telah dibikin semula berdasarkan satu latarbelakang yang berbeza, tetapi temanya tetap sama, membongkarkan kegiatan penyeludupan pekerja asing.

Mengenai jalan ceritanya, filem ini mengeluarkan segala klise filem berbahasa Melayu dan terus kepada poin (direct to the point), ia tidak memaparkan sebarang babak yang tidak penting atau menyumbang kepada pemahaman penonton kepada situasi yang dilalui watak-watak dalam filem ini. Susunan dan olahan babak-babaknya jelas dan mudah difahami, walaupun ia satu topik yang agak berat. Putaran plot di penghujung filem juga suatu yang tidak dijangka, walaupun pernah dilihat dalam filem lain.

Walaubagaimanapun, filem ini bukan filem aksi penyiasatan, sebaliknya lebih mirip kepada dokumentari mengenai modus operandi para pemain dalam kegiatan penyeludupan pekerja asing, cuma ia diceritakan dalam bentuk filem. Jadi ia tiada babak tembak-menembak atau kejar mengejar yang mendebarkan, walaupun terdapat sedikit babak berlawan di penghujung filem.

Sinematografinya berkualiti dan setaraf dengan filem-filem terbaik asia manakala dialog dan skripnya merupakan satu perkara yang sangat saya sukai. Ia tidak menggunakan skrip skema atau klise seperti filem-filem berbahasa Melayu popular, sebaliknya ia menggunakan dialog sebagaimana orang biasa bercakap dalam dunia realiti. Ini menjadikan watak-wataknya lebih realistik dan lebih dekat dengan penonton.

Mungkin satu perkara yang negatif yang boleh kami komen mengenai filem ini ialah mekap dan kesan khas seperti kesan tembakan yang tidak begitu realistik, namun itu hanyalah perkara yang kecil dan tidak mencacatkan filem ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita dan babak yang disusun dengan baik sekali
  • Lakonan dan skrip yang realistik kepada dunia sebenar
  • membongkar dengan berani kegiatan dan sindiket penyeludupan pekerja asing

Negatif

  • Mekap dan kesan khas yang kurang memuaskan

Kesimpulan

Apabila menonton filem ini kami nasihatkan supaya memasang mindset yang betul. Ia bukan sebuah filem aksi penyiasatan Holywood, sebaliknya ia menceritakan realiti hidup mereka yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan pekerja asing. Penonton haruslah memasang mindset untuk mengambil pengajaran dan bukan untuk berhibur.

Pada pendapat kami, ia sememangnya salah sebuah filem berbahasa Melayu terhebat, namun kami tidak pasti mengenai kejayaan komersialnya. Apa pun tontonlah filem ini di pawagam, anda tidak akan menyesal.

Penilaian: 8/10

IMDB

The post One Two Jaga : Filem Berbahasa Melayu Paling Berani Setakat Ini appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2N1VbYj

Equalizer 2 : Filem Aksi yang Matang

Equalizer adalah pembikinan semula filem tahun 70an dengan tajuk yang sama dan Equalizer 2 merupakan sekuel filem bikinan semula itu. Selepas menonton filem pertama dan melihat kehebatannya, kami agak teruja untuk menonton filem kedua ini.

Equalizer 2 : Filem Aksi yang Matang

Equalizer 2 menyambung kisah Robert McCall yang kini bekerja sebagai pemandu Lyft (salah satu pesaing Uber di USA) yang sekali-sekala menyelamatkan mereka dalam kesusahan dengan caranya tersendiri. Kali ini cabarannya lebih hebat kerana mangsa yang memerlukan bantuannya adalah rakan rapatnya yang telah mati dalam keadaan yang mencurigakan. Bolehkah beliau menyiasat kematian rakannya dan membawa keadilan kepada pembunuhnya? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Jika anda menonton filem ini, awal-awal lagi anda akan menyedari kelainan tema filem ini berbanding filem pertama. Walaupun filem ini masih mempunyai babak-babak aksi yang mendebarkan, ia jauh lebih “chill” berbanding filem pertama. Ia mengambil masa untuk membentangkan senario kehidupan sehari-harian Robert pada ketika itu. Sejujurnya kami sukakan “pacing” sebegini yang lebih santai dan membolehkan penonton menghayati kehidupan serta perhubungan Robert dengan jiran dan pelanggannya. Perumpamaannya ialah Equalizer 1 umpama semangkuk Shin Ramyun yang pedas manakala Equalizer 2 umpama “3 course meal” atau set makan yang lengkap. Penonton lebih terasa puas menonton filem ini berbanding sebuah filem aksi yang pantas, tetapi tiada banyak isi yang boleh dihayati.

Dengan sebab ini, kami berasa mereka yang mengharapkan filem aksi pantas seperti Mile 22 akan berasa tidak senang duduk dengan pacing cerita yang sedikit santai. Babak aksinya juga tidak begitu banyak, tetapi babak-babak aksi yang ada sememangnya memuaskan hati.

Dari segi jalan ceritanya, ia banyak menyingkap kembali sejarah Robert yang pernah menjadi ketua sebuah pasukan khas rahsia tentera US yang ditugaskan untuk membunuh musuh. Agak sama dengan pasukan dalam filem Mile 22. Jalan ceritanya bukanlah sesuatu yang baharu, namun pengolahannya agak baik dan putaran plotnya juga OK, walaupun boleh dijangka.

Tetapi seperti disebut sebelum ini, babak aksinya tidak sebanyak filem pertama memandangkan filem ini lebih menyerupai sebuah filem drama berbanding filem aksi, dan itu sesuatu yang baik, sebenarnya. Sekurang-kurangnya ia memberi nafas segar kepada filem genre aksi lewat ini.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita, pengolahan dan pacing filem aksi yang matang
  • Babak aksi yang walaupun tidak sebanyak filem pertama, sangat mengujakan

Negatif

  • Lebih mirip sebuah filem drama berbanding aksi

Kesimpulan

Kesimpulannya filem Equalizer 2 ini adalah sebuah filem yang kami rasakan lebih menonjol kepada golongan peminat yang lebih matang. “Pacing“nya yang slow and steady, mungkin tidak akan mengujakan penonton yang lebih muda, namun ia memberikan rasa kepuasan menonton di mana satu sudut luas kehidupan Robert dipertontonkan kepada penonton. Sungguhpun pacingnya sedikit perlahan, babak aksinya tetapi pantas dan mendebarkan, dan Robert masih menggunakan jam tangan untuk mengukur masa yang digunakan untuk menumpaskan musuh. Tontonlah filem ini jika anda inginkan filem yang santai dan memberikan kepuasan dalam mengenal watak-wataknya.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Equalizer 2 : Filem Aksi yang Matang appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2PyiHsF