Search This Blog

Captain Marvel – Filem Feminist atau Memang Sebuah Filem yang Hebat?

Kecoh beberapa minggu sebelum tayangan filem Captain Marvel bermula, di mana ramai, bukan sahaja lelaki, malah wanita yang menkritik filem tersebut, terutamanya pelakon utamanya Brie Larson, mengatakan filem itu terlalu menonjolkan idea feminist. Tambahan pula kenyataan Brie Larson di Twitter langsung tidak membantu reputasi filem tersebut. Tetapi adakah kritikan ini wajar, atau sekadar reaksi lampau para peminat setia Marvel Cinematic Universe terhadap seseorang yang mereka rasakan membawa masuk politik feminist ke dalam dunia filem? Kami sempat menonton filem ini untuk mengetahui kisah di sebaliknya.

Captain Marvel – Filem Feminist atau Memang Sebuah Filem yang Hebat?

Captain Marvel mengisahkan Vers, seorang pahlawan kaum Kree yang sedang berperang dengan kaum Skrull. Beliau diletakkan di bawah satu pasukan pahlawan Kree yang diketuai Yon-Rogg dan dianggotai oleh beberapa anggota elit. Dalam satu misi untuk menyelamatkan seorang pengintip, pasukannya diserang hendap oleh anggota Skrull dan beliau telah diculik oleh mereka dan dibawa ke kapal angkasa mereka.

Di dalam kapal angkasa mereka, kumpulan Skrull itu telah menggunakan mesin membaca ingatan ke atas Vers untuk mencari ingatan mengenai seorang saintis bernama Dr. Wendy Lawson dan di mana beliau berada. Anehnya semua ingatan ini tidak pernah diketahui kewujudannya oleh Vers sendiri. Maklumat yang diperolehi membawa kapal Skrull ke bumi, tapi dalam proses menyelamatkan diri, Vers telah memusnahkan kapal angkasa itu dan beliau serta beberapa anggota puak Skrull telah turun ke bumi menggunakan pod pelarian.

Bermulalah misi baru Vers untuk memburu puak Skrull sebelum bumi dimusnahkan. Apakah akan terjadi seterusnya? Tontonlah filem ini di pawagam berhampiran.

Review

Jika anda mengikuti perdebatan mengenai feminism di Amerika (yang kadang-kadang tak masuk akal), anda akan faham mengapa golongan anti feminist mengkritik filem ini. Latar belakang watak utama merupakan seorang wanita yang telah banyak menghadapi kutukan akibat sterotaip lelaki terhadap dirinya sejak kecil. Dengan kata lain, beliau adalah mangsa “toxic masculinity” sejak kecil.  Tetapi pada pendapat kami, bagi kita di Asia yang tak terdedah dengan terlalu banyak perdebatan feminist barat, tidak akan terganggu dengan perkara ini dan akan melihat filem ini seadanya.

Marvel Studio CAPTAIN MARVEL..Talos (Ben Mendelsohn)..Foto: Chuck Zlotnick..©Marvel Studios 2019

Ok, selesai perkara di atas, kita beralih kepada review sebenar filem ini. Filem ini secara keseluruhannya merupakan perjalanan Vers mengenali siapa diri beliau sebenarnya (Spoiler: Carol Danvers). Banyak putaran plot (plot twist) yang diperlihatkan menjadikan jalan ceritanya menarik dan mendebarkan. Dengan pengalaman luas pihak Marvel, aliran jalan cerita filem ini begitu baik dan teratur, membolehkan penonton memahami latarbelakang Vers yang sedikit mengelirukan.

Jalan ceritanya juga mendedahkan banyak sejarah mengenai organisasi SHIELD, terutamanya watak utamanya, Nick Fury. Filem yang diset pada tahun 1995 ini akan mengimbau kembali banyak teknologi dan permasalahan teknologi pada zaman itu dan bagi golongan yang membesar pada tahun 90an, ia sememangnya mengimbau banyak kenangan bagi kami, terutamanya lagu-lagu 90an yang ditampilkan.

Walaubagaimanapun, mungkin perkara yang kurang meyakinkan adalah lakonan dan perwatakan watak utama Vers lakonan Brie Larson. Ada ketika beliau kelihatan kaku dalam lakonannya dan kadang kala tidak beremosi. Lakonannya dari segi lagak ngeri dan babak lawan memang baik dan kami tiada komplen mengenainya. Seperti biasa lawak jenaka melibatkan Nick Fury sememangnya lucu dan bersahaja.

Jangan lupa kucing comel bernama “Goose”. Ia pasti akan mengejutkan anda. Juga terdapat dua babak pasca kredit yang perlu anda lihat. Terutamanya yang pertama kerana ia berkaitan dengan filem Avengers: Endgame.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita menarik dan tersusun
  • Lawak jenaka yang menghiburkan
  • Tema 90an yang mengimbau kenangan

Negatif

  • Lakonan Captain Marvel yang kurang menarik

Kesimpulan

Kesimpulannya filem Captain Marvel merupakan sebuah filem yang menarik dan mendebarkan. Cuma mungkin tidak sehebat filem watak-watak Marvel lain. Tontonlah filem ini sebelum anda menonton Avengers: Endgame, barulah anda akan faham kaitan babak akhir Antman & Wasp dan Avengers Infinity War dengan film Avengers Endgame.

Penilaian: 7.5/10

IMDB

The post Captain Marvel – Filem Feminist atau Memang Sebuah Filem yang Hebat? appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2tSOqfl