Search This Blog

Misteri Dilaila – Satu Filem Dua Kesudahan Berbeza

Sejujurnya kami tidak bercadang untuk menonton filem Misteri Dilaila pada mulanya, namun setelah mendengar mengenai dua kesudahannya, kami terasa ingin tahu bagaimana pihak produksi mengimplimentasi teknik penceritaan yang buat pertama kali diperkenalkan di Malaysia. Kami telah menonton dua-dua versi filem ini dan inilah pendapat kami mengenai kedua-dua filem tersebut.

Misteri Dilaila – Satu Filem Dua Kesudahan Berbeza

Misteri Dilaila mengisahkan pasangan Jefri dan Dilaila yang bercuti berdua di Frasers Hill. Namun, sedang mereka bercuti, Jefri pergi berjumpa dengan rakan-rakan perniagaannya. Ini membuatkan Dilaila marah dan mereka bergaduh.

Namun, anehnya, pagi besoknya, Dilaila didapati hilang bersama telefon bimbit dan kereta mereka. Jefri mencari sekeliling pekan Frasers Hill namun tidak menjumpainya. Apakah yang terjadi kepada Dilaila? Tontonlah kedua-dua versi filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Sepertimana yang anda sedia maklum, filem Misteri Dilaila mempunyai dua versi yang ditayangkan setiap satunya di pawagam berlainan. Kedua-dua versi mempunyai jalan cerita yang sama, tetapi 15 minit terakhir kedua-dua versi filem tersebut berbeza dan siapa protagonis atau antagonis berbeza dalam setiap versi. Sejujurnya, idea untuk membuat dua versi berbeza satu idea bijak. Bukan sahaja syarikat produksi dapat mengutip lebih kutipan dari penghasilan dua filem dengan sekali pembikinan, malah dapat menyajikan satu teknik penceritaan baharu kepada penonton.

Namun, pada pendapat kami, perbezaan babak kesudahan mungkin satu motivasi yang cukup kuat untuk para penonton untuk menonton kedua-dua versi filem ini. Kami menonton versi 1 dahulu sebelum versi 2 dan semasa menonton versi 2, kami agak bosan kerana sebahagian besar filem ini telahpun kami tonton. Jadi, kebanyakan kejutan bukan lagi kejutan bagi kami.

Untuk review filem ini kami bahagikan kepada 3;

  1. review bahagian awal filem yang sama dalam kedua-dua versi,
  2. review kesudahan versi 1,
  3. review kesudahan versi 2.

1.  Review Bahagian Awal

Dari awal lagi penonton dihidangkan dengan susuan jalan cerita yang berkualiti dan walaupun jalan ceritanya mempunyai putaran plot yang banyak, semuanya dibentangkan dengan baik dan tidak mengelirukan penonton. Penonton sentiasa akan tertanya-tanya apa yang sedang berlaku dan kenapa. Begitu baiknya susunan jalan ceritanya sehingga kami rasakan ia merupakan filem misteri Malaysia yang terbaik kami pernah tonton.

Namun, sedikit spoiler, babak berhantunya agak klise dan menggunakan teknik kejutan yang telah biasa digunakan dalam filem-filem seram. Namun, tidak mengapa. kekuatan filem ini bukanlah babak berhantunya, sebaliknya babak misteri dan penyiasatannya. Ia sememangnya memeningkan kepala tetapi pada masa yang sama, penonton boleh memahami jalan ceritanya jika mereka menumpukan perhatian.

Lakonan para pelakonnya sememangnya tip top terutamanya Zul Ariffin, Rosyam Noor dan Sasqia Dahur sebagai watak-watak utama. Penggunaan dialog yang natural dan emosi yang ikhlas menguatkan lagi lakonan pelakon-pelakonnya. Lakonan Elizabeth Tan agak ok juga, tetapi kebanyakan wataknya berkaitan hantu.

2. Kesudahan Versi 1

Kesudahan versi 1 mempunyai tema yang lebih teknikal berbanding mistikal. Tanpa mendedahkan banyak spoiler mengenainya kami boleh simpulkan kesudahan versi 1 akan lebih menonjol untuk mereka yang sukakan filem penyiasatan seperti Sherlock Holmes. Ia lebih analitik dan logik dalam temanya. Kesudahan ini sebuah kesudahan yang masuk akal….sehingga babak paling akan menyebabkan segala yang anda tonton sebelum ini dipersoalkan. Sangat dramatik. Kami suka kesudahan ini.

3. Kesudahan Versi 2

Kesudahan versi 2 ini lebih gila-gila. Malah kami rasa agak ralat dengan kesudahan ini kerana ia seperti “out of character” berbanding jalan cerita bahagian awal. Malah apabila karakter antagonis sebenar didedahkan kami rasakan agak mustahil para antagonis boleh tampil dengan muslihat yang dilihat sepanjang filem ini. Tambahan pula seorang dari antagonis yang kami harapkan tiba-tiba bertukar menjadi seperti orang gila. Ia agak “potong stim” bagi kami.

Sungguhpun demikian, kesudahan versi 2 ini mempunyai babak aksi yang lebih banyak dan akan menonjol kepada mereka yang gemarkan aksi. Di samping itu ia juga mempunyai tema mistik yang tinggi. Dengan kata lain ia satu kesudahan aksi-berhantu, cuma dari segi jalan cerita, agak kurang masuk akal.

Positif vs Negatif

Positif

  • Sebuah filem Malaysia yang benar-benar berkualiti
  • Jalan cerita, debaran, misteri dan putaran plot yang memang tidak dijangka.
  • Lakonan mantap

Negatif

  • Terdapat beberapa “plot hole” yang tidak boleh dijelaskan jika anda lihat dengan teliti
  • Mekap hantu kurang menawan.

Misteri DilailaKesimpulan

Kami sememangnya merekomen anda menonton Misteri Dilaila tak kira jika anda peminat filem misteri atau tidak. Persoalannya versi mana yang patut anda tonton? Kalau anda ada masa dan wang, kedua-duanya, tetapi jika anda perlu pilih, jika anda jenis otak bergeliga, versi 1 untuk anda. Jika anda jenis yang suka jalan cerita yang lebih straight forward, versi 2 untuk anda. Selamat menonton!

Penilaian: 8/10

The post Misteri Dilaila – Satu Filem Dua Kesudahan Berbeza appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2VDSlJ5