Search This Blog

Shazam – Captain Marvel DC Comics Yang Jauh Lebih Menghiburkan

Sejujurnya admin tidak mengetahui mahupun mendengar watak bernama Shazam sebelum ini. Admin diberitahu bahawa beliau dikenali juga dengan nama Captain Marvel dalam komik-komik DC. Pada awalnya admin tidak pasti mahu menonton filem ini, namun setelah menonton trailernya, admin diyakinkan untuk sekurang-kurangnya menonton filem ini. Berikut adalah ulasan kami mengenai filem ini.

Shazam – Captain Marvel DC Comics Yang Jauh Lebih Menghiburkan

Shazam mengisahkan Billy Batson yang ditinggalkan ibunya semasa kecil dan hidup dengan beberapa keluarga angkat. Beliau mempunyai sejarah melarikan diri dari keluarga angkatnya dan sudah lebih 20 keluarga beliau tinggalkan. Sehingga beliau ditempatkan bersama keluarga Victor Vasquez bersama 5 lagi adik beradik angkat.

Suatu hari beliau dipilih untuk mewarisi kuasa sihir daripada seorang ahli sihir bernama Shazam yang hendak sampai ke ajalnya. Tanpa berfikir panjang, beliau bersetuju mewarisi kuasa itu dan menjadikanya seorang adiwira. Sementara itu, Dr. Thaddeus Sivana, seorang yang ditolak untuk mewarisi kuasa sihir Shazam semasa beliau kecil telah merampas kuasa sihir 7 dosa besar.

Shazam/Billy cuba belajar menggunakan kuasanya tanpa mengetahui bahaya yang menunggunya. Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Berlainan dari filem adiwira seperti Iron Man atau Avengers, filem Shazam ini pada pendapat kami lebih disasarkan kepada golongan remaja. Watak-watak utamanya yang lingkungan umur remaja dan kanak-kanak mengukuhkan lagi pendapat kami. Namun, itu bukan alasan untuk tidak menonton filem ini. Ia menghiburkan dan penuh dengan lawak jenaka yang jarang kita lihat pada filem DC Comics. Malah ia lebih mirip filem Marvel dari segi pacing dan lawak jenakanya.

Filem in pada asasnya mengenai perjalanan seorang anak yatim mencari makna mempunyai sebuah keluarga yang beliau belum pernah ada. Ia juga membandingkan kehidupan Dr. Thaddeus Sivana yang mempunyai keluarga, tetapi keluarganya selalu memandang rendah terhadapnya membuatkan beliau berasa dendam, seterusnya terjerumus ke arah 7 dosa besar.

Jalan ceritanya mudah difahami dan penuh dengan adegan lawak jenaka yang menghiburkan serta drama pergelutan yang mendebarkan. Maklumlah, filem untuk remaja. Watak-watak utama, terutamanya Freddie dan Billy memang serasi serta memainkan peranan besar dalam menceriakan filem adiwira ini. Tanpa mereka tentu filem ini tidak sehebat mana.

Kesudahan filem ini iaitu cara watak protagonis mengalahkan watak antagonis juga agak tidak dijangka memandangkan ia langsung tidak dibayangkan dalam trailernya. Ia memang sesuatu yang menarik. Bagi anda yang bercadang untuk menonton filem ini, jangan lupa untuk menonton babak pasca kredit yang membayangkan filem Shazam yang akan datang.

Shazam

Positif vs negatif

Positif

  • Jalan cerita yang menghiburkan dan penuh lawak jenaka
  • Watak-watak utama yang dilakonkan dengan baik

Negatif

  • Bagi yang mengharapkan jalan cerita yang lebih “dewasa” seperti filem Marvel Universe, mungkin kecewa
  • Watak jahat yang kurang memberangsangkan

Kesimpulan

Tidak dinafikan filem Shazam merupakan sebuah filem yang menghiburkan. Namun, tema remajanya mungkin tidak begitu menarik bagi golongan yang lebih dewasa. Tetapi jika anda jenis yang suka melayan apa sahaja filem, anda pasti terhibur menonton filem ini. Tiada babak yang membosankan dalam filem ini.

Penilaian: 8.5/10

IMDB

The post Shazam – Captain Marvel DC Comics Yang Jauh Lebih Menghiburkan appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2FTbAIj