Search This Blog

Extreme Job – Filem Komedi Penyiasatan Yang Menghiburkan

Jika anda melihat di bahagian bawah senarai filem popular di pawagam, anda tentu akan terjumpa filem Extreme Job. Ia bukanlah filem popular yang ditunggu-tunggu peminat filem, jika dibandingkan dengan Shazzam, Dumbo dan Avengers Endgame. Malah ketika kami menontonnya, hanya terdapat 1-2 orang lain yang turut menonton filem ini pada ketika itu. Apa pun, berikut ulasan kami mengenai filem komedi Korea Selatan ini.

Extreme Job – Filem Komedi Penyiasatan Yang Menghiburkan

Extreme Job mengisahkan satu skuad narkotik, terdiri daripada 5 anggota diketuai Kapten Go yang ditugaskan untuk mengintip dan menangkap ketua sindiket dadah bernama Moo Bae. Daripada sumber risikan, tempat operasinya sindiket dadah ini terletak di satu bangunan yang bertentangan dengan sebuah restoran ayam goreng. Kebetulan kedai ayam goreng itu jarang menerima pelanggan dan pemiliknya mengambil keputusan untuk menjual restorannya.

Memandangkan kekurangan pelanggan dan berhadapan dengan tempat operasi sindiket dadah, tempat itu sesuai untuk dijadikan tempat operasi intipan polis. Menyedari itu, Kapten Go menghabiskan wang persaraannya untuk membeli restoran itu demi mengadakan operasi intipan di sana. Pada masa yang sama, restoran itu perlu beroperasi supaya pihak sindiket tidak mengesyaki mereka diintip.

Nak dijadikan cerita, kedai ayam goreng mereka menjadi laris dan terkenal kerana resipi ayam yang sedap dan makin lama makin ramai pelanggan. Akibatnya, mereka terlalu sibuk untuk mengintip dan dalam dilema. Mampukah mereka mengumpul bukti untuk menangkap sindikit dadah Moo Bae? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Pada awalnya, filem ini memang kelihatan seperti sebuah filem slapstik, tapi setelah penyiasatan mereka bermula, komedinya yang agak bijak mula menampakkan diri. Dari segi jalan ceritanya, ia agak ringkas dan mudah difahami. Tiada putaran plot yang kompleks dan memerah otak. Namun, anda pasti akan terhibur dengan situasi lucu yang ditempuhi pasukan polis Kapten Go sepanjang penyiasatan mereka.

Babak aksinya tidaklah begitu banyak tetapi babak-babak berlawan yang ada sememangnya menghiburkan. Banyak kata-kata kesat bahasa Korea dilemparkan dalam dialognya, suatu yang semakin kurang dilihat dalam filem Korea masa kini yang semakin “bertamadun”. Ternyata filem ini hanyalah hiburan semata-mata dan bukan dibikin untuk memenangi apa-apa anugerah.

Kami rasa tidak banyak boleh dikatakan mengenai filem ini selain ia sebuah filem komedi penyiasatan yang menghiburkan. Malah para pelakonnya juga bukanlah pelakon yang begitu terkenal meskipun lakonan mereka memenuhi standard filem Korea.

Positif vs Negatif

Positif

  • Filem yang ringkas dan menghiburkan
  • Jalan cerita yang lucu

Negatif

  • Tidak akan memenangi mana-mana anugerah
  • Anda tentu akan melupakan filem ini setelah keluar panggung wayang

Kesimpulan

Ternyata filem Extreme Job ini adalah sebuah filem hanya untuk hiburan semata-mata. Ia ringkas, lucu dan menghiburkan. Bagi yang inginkan filem yang deep dan bermakna, ini bukan filemnya. Tetapi jika anda ingin melepaskan stress setelah seminggu bekerja, filem ini mampu menaikkan semula mood anda yang berserabut.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Extreme Job – Filem Komedi Penyiasatan Yang Menghiburkan appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2CQmVYI