Search This Blog

Triple Threat – Teruk dan Klise Hingga Ke Tahap Menarik

Dalam industri filem ada satu kategori filem yang mana filem tersebut terlalu teruk dan klise sehingga ia semacam seronok untuk ditonton. Filem-filem ini biasanya berbajet sederhana hingga rendah, penuh aksi klise dan memang seronok ditonton sambil mempermainkan sifat klise filem tersebut. Dalam bahasa Inggeris, adjektif  yang digunakan untuk menggambarkan filem sebegini adalah “camp” (disebut kamp), bermakna keterukkan filem tersebut adalah sebab filem itu seronok ditonton. Sekali pandang filem Triple Threat merupakan calon filem untuk kategori filem “camp” ini.

Triple Threat – Teruk dan Klise Hingga Ke Tahap Menarik

Filem Triple Threat mengisahkan satu sindiket jenayah terancang yang mengarahkan sekumpulan pembunuh upahan untuk membunuh anak perempuan hartawan bernama Xian yang baru sahaja menerima harta pusaka ayahnya setelah beliau meninggal. Ini kerana Xian telah mendermakan hartanya bagi menghapuskan sindiket jenayah terancang yang menguasai negara fiksyenal bernama Maha Jaya.

Dalam proses memburu sasaran, kumpulan pembunuh upahan tersebut telah mengkhianati protagonis kita iaitu Payu (Tony Jaa), Long Fei (Tiger Chen) dan Jaka (Iko Uwais). Oleh itu mereka berazam untuk memburu kumpulan pembunuh upahan itu dan membunuh mereka.

Dapatkah mereka mengalahkan kumpulan pembunuh upahan itu? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Sepintas lalu filem Triple Threat ini nampak seperti sebuah filem aksi bajet. Tak dapat dinafikan jalan ceritanya tidak begitu memberangsangkan, terdapat babak di mana kesan khasnya ketara jimat kos, dan lakonan pelakonnya bukanlah yang terbaik. Namun, pengarahnya bijak untuk menggunakan apa yang ada untuk tidak menampakkan sangat penjimatan bajetnya. Koreografi babak lawan adalah salah satu aspek yang begitu dititikberatkan dan menaikkan nilai komersial filem ini ke tahap yang seronok ditonton. Maklumlah Tony Jaa dan Iko Uwais merupakan dua nama terkenal dalam filem seni mempertahankan diri di Asia Tenggara. Malah berani saya katakan, jika babak lawannya dibuat secara cincai, kami yakin tak ramai yang mampu menonton filem ini sehingga ke penghujung. Penggunaan props senjata yang realistik dengan kesan tembakan serta kelongsong pelurunya sekali juga menyelamatkan filem ini dari label filem bajet rendah.

Seperti kami katakan tadi, jalan ceritanya tidaklah memberangsangkan. Plotnya kurang jelas pada awalnya, babak-babaknya ringkas, seolah-olah tidak sabar untuk beralih ke babak aksi dan filemnya merupakan filem multi-bahasa di mana bukan sahaja bahasa Inggeris digunakan, malah bahasa Thai, Mandarin dan Indonesia juga digunapakai dalam filem ini.

Secara ringkasnya, jika anda menonton filem ini, ia bukan kerana jalan ceritanya, sebaliknya hanya untuk babak lawannya. Niat menonton hanyalah untuk berhibur atau mengisi masa lapang. Jika anda meletakkan harapan terlalu tinggi, anda mungkin tidak dapat menikmati sepenuhnya filem ini yang patut ditonton dengan rakan-rakan, supaya lebih meriah.

Positif vs Negatif

Positif

  • Babak aksi dan lawan yang berkualiti
  • Pelakon mat salleh yang bukan setakat nak tayang muka sahaja, tetapi berlakon dengan baik

Negatif

  • Plot dan jalan cerita yang ke laut
  • Filem aksi klise dan boleh dijangka

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem ini merupakan filem aksi santai yang tidak perlu diambil serious. Tiada apa yang begitu istimewa mengenai filem ini, tetapi jika anda gemar melayan filem aksi dan seni mempertahankan diri, kami yakin akan akan terhibur melayan filem ini dengan syarat anda tidak meletakkan harapan yang tinggi dan hanya mahu berhibur sahaja. Kami juga terhibur melayan aksi berlawan gaya muay thai Tony Jaa dan kung-fu/silat rakan-rakannya. Filem yang terlalu teruk sehinggakan ia seronok ditonton.

Penilaian: 6/10

IMDB

The post Triple Threat – Teruk dan Klise Hingga Ke Tahap Menarik appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://bit.ly/2VS7Q0f