Search This Blog

Prosedur skrip Polis Diraja Malaysia | POLIS EVO


Zizan Razak (kiri) dan Shaheizy Sam dalam 'Polis Evo'.
  (Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengarah filem Polis Evo iaitu Ghaz Abu Bakar menjelaskan penggambaran filem tersebut tertunda beberapa kali berikutan terpaksa mengikut garis panduan skrip Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ghaz berkata, dia banyak mengubah semula beberapa adegan dalam skrip asal mengikut kesesuaian bagi memastikan kualiti skrip dan filem tersebut mencapai tahap terbaik.

"Ya, penggambaran tertunda kerana rombakan skrip dan prosedur yang perlu diikuti mengikut garis panduan pihak PDRM selain perancangan perlu dilakukan dengan rapi.

"Kami juga sentiasa memastikan skrip yang akan diucap itu memberi kesan terhadap filem," ujarnya kepada mStar Online.
Ghaz diminta mengulas tentang penangguhan filem tersebut selama dua bulan akibat masalah tertentu ketika penggambaran dilakukan pada penghujung tahun 2014.

Tambah Ghaz, apa yang diolah semula adalah bagi memastikan filem tersebut dapat mengangkat imej pasukan polis di mata masyarakat negara ini.


Barisan mereka yang terlibat dalam Polis Evo.
Dalam pada itu, ditanya tentang perbezaan filem tersebut dengan filem berciri kepolisian sebelum ini iaitu Romeo Kota lakonan Aaron Aziz dan Nabil Ahmad, Ghaz berkata, Polis Evo mempunyai elemen yang berbeza.

"Saya ada tengok Romeo Kota dan memang konsep sama tetapi elemen dan rencah lain.Polis Evo menonjolkan 80 peratus aksi, manakala Romeo Kota lebih kepada karekter dan humor sahaja," ujarnya.

Filem ini bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 17 September depan.

Sementara itu Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata, filem tersebut menelan belanja kira-kira RM2.4 juta bagi mendapatkan kualiti terbaik selain meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap filem tempatan.

"Secara jujurnya memang agak risau dengan kutipan filem sekarang yang rendah, namun untuk filem aksi kami tidak boleh meletakkan bajet yang rendah.

"Kalau bajet rendah ia akan memberi kesan kepada kualiti filem tersebut dan akhirnya membuatkan penonton terus hilang keyakinan terhadap filem kita," ujarnya.

Filem Polis Evo lakonan Shaheizy Sam, Zizan Razak dan Nora Danish mengisahkan tentang dua anggota polis iaitu Khai (Shaheizy Sam) dan Sani (Zizan Razak) yang mempunyai personaliti angat berbeza.

Mereka diberi tugas dan perlu bekerjasama dalam menjatuhkan sebuah operasi pengedaran dadah terbesar.

Filem tersebut juga menggunakan lagu tema berjudul Evo yang dinyanyikan oleh Joe Flizzow dan SonaOne.